Juara silat dunia digugurkan - Utusan Malaysia

Juara silat dunia digugurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengambil tindakan tegas apabila menggugurkan juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpu 2017 (KL2017) selepas gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) menjelang Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Pelembang, Indonesia yang berlangsung Ogos depan.

RAZAK yang merupakan juara dunia terpaksa digugurkan selepas prestasi
RAZAK yang merupakan juara dunia terpaksa digugurkan selepas prestasi merosot selain mengalami kecederaan gegaran otak ketika menyertai saingan Terbuka Belgium bulan lalu.

Pesaka terpaksa mengambil langkah tegas selepas beberapa atlet terbaik negara dikesan mengalami kecederaan dan tidak menunjukkan peningkatan walaupun diberikan peluang untuk membuktikan pada beberapa siri perlawanan di peringkat negeri dan antarabangsa.

Justeru, Pesaka terpaksa menyingkirkan atlet terbaik negara, Razak Ghazali selepas dikesan mengalami gegaran otak ketika menyertai saingan Terbuka 
Belgium bulan lalu dan mengambil keputusan untuk mengundur diri.

Razak sebelum ini muncul sebagai juara dunia baharu dalam kelas D Putra pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia (2016) dan turut muncul sebagai pemenang pingat emas KL2017.

Seorang lagi atlet senior negara, Hafizah Hassan Sabery yang beraksi dalam kategori B Putri juga digugurkan dan tempatnya akan diambil alih oleh Siti Farhanita Maddin.

Selain itu, pemegang pingat emas dalam kelas Ganda Putra pada KL2017, Mohd. Rosli Mohd. Sharif turut digugurkan. Tempat tersebut akan diambil alih oleh Muhammad Afifi Nordin dan digandingkan bersama Mohd. Taqiyuddin Hamid.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya serius mengambil tindakan tersebut dan mahu atlet terbaik sahaja mewakili negara di pentas Sukan Asia.

“Ini adalah realiti yang perlu dilalui atlet negara dan Pesaka serius akan perkara ini. Seperti diketahui, kita hanya ingin membentuk pasukan terbaik untuk mewakili negara ke Sukan Asia.

“Oleh itu, kita tidak mahu atlet yang mempunyai masalah disiplin dan tidak menunjukkan peningkatan walaupun beberapa peluang kita sudah berikan. Meskipun dia pemenang pingat emas sekalipun jika tidak mencapai tahap yang kita mahu atlet tersebut kita singkirkan serta-merta.

“Kita terpaksa menggugurkan Razak kerana prestasinya dilihat kurang me­yakinkan. Selepas melakukan pemerhatian, dia berdepan masalah kecederaan sebelum ini dan keyakinan dirinya tidak begitu tinggi setiap kali memasuki ge­langgang,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain juga turut mengumumkan sasaran mereka pada pentas Sukan Asia apabila hanya meletakkan sasaran realistik iaitu tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN