JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor menyokong penuh keputusan kerajaan persekutuan untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, keputusan kerajaan persekutuan membatalkan projek itu amat tepat dan bersesuaian dengan pendekatan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mahu membebankan negara dengan projek-projek mega yang boleh menyebabkan pertambahan hutang dan pada masa sama berusaha mengurangkan hutang negara.
Katanya, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa HSR yang menelan belanja RM110 bilion adalah ‘game changer’ bagi pembangunan di wilayah selatan Johor tidak boleh diterima dalam situasi ekonomi masa kini.
“Projek ini (HSR), jika dilaksanakan, hanya akan siap dan mula beroperasi menjelang 31 Dis 2026, iaitu kira-kira sembilan tahun dari sekarang. Projek ini juga akan memakan masa terlalu lama untuk mendapat pulangan balik apatah lagi menjana keuntungan.
“Ini belum lagi mengambil kira kos-kos lain termasuk kos penyelenggaraan. Pelaburan ke atas projek yang mencecah RM110 bilion ini sangat tinggi sedangkan pulangannya rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama










