LOS ANGELES 28 Jun – Bapa lagenda muzik Michael dan Janet Jackson, Joe Jackson meninggal dunia pada umur 89 tahun.
Menurut portal berita BBC, Joe meninggal awal pagi semalam selepas mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakit kanser pankreas.
Kematiannya disahkan di media sosial oleh beberapa ahli keluarganya, termasuk anak perempuannya, La Toya Jackson dan dua cucunya, Taj dan Randy Jackson.
Berita sedih itu berlaku hanya dua hari selepas ulang tahun kematian anaknya, lagenda pop, Michael Jackson pada 2009.
Joe memainkan peranan besar dalam karier anak-anaknya termasuk bertanggungjawab membentuk kumpulan The Jackson 5 dianggotai lima anak lelakinya, Jackie, Tito, Jermaine, Marlon dan Michael.
Perjalanan kerjaya seni tiga anak perempuan, LaToya, Rebbie dan Janet turut bermula di bawah pengurusan Joe dengan pelbagai pengiktirafan.
Waris keluarga tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta untuk memberikan komen tetapi Joe dilaporkan seakan-akan sudah memberikan petanda tentang kematiannya menerusi laman Twitter dua hari lalu.
“Saya melihat matahari terbenam lebih banyak daripada apa yang pernah saya lihat. Matahari terbit pada waktunya dan sama ada anda suka atau tidak ia akan terbenam apabila tiba waktunya,” tulisnya.










