Jerman tertekan berdepan Sweden - Utusan Malaysia

Jerman tertekan berdepan Sweden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOCHI – Pemain tengah Jerman, Sami Khedira berang selepas seorang wartawan Sweden cuba berseloroh dengan memberikan tiket pe-nerbangan pulang menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Kumpulan F di Stadium Fisht awal pagi esok.

Jerman berada dalam keadaan tertekan selepas juara dunia itu dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Mexico pada aksi pembukaan di Stadium Luzhniki 17 Jun lalu.

Tambah panas, wartawan Sweden itu seolah-olah menyindir skuad kendalian Joachim Low itu apabila menyerahkan tiket penerbangan pulang kepada Khedira sebelum pemain Juventus itu membuang tiket berkenaan.

“Kami tidak memerlukan tiket-tiket ini kerana Jerman tidak akan balik awal. Walaupun kami bermula dengan kekalahan tetapi saya yakin Jerman akan memenangi perlawanan menentang Sweden.

“Kami tahu kami masih pasukan yang kuat. Kami sudah melakukan analisis serta menonton aksi Sweden, jadi kami sudah tahu kelemahan mereka. Jerman tidak memerlukan tiket tersebut sehingga 16 Julai depan,” tegas Khedira.

Mengulas mengenai kemungkinan Low akan meletakkannya di bangku simpanan dan digantikan dengan Leon Goretzka atau Ilkay Gundogan, Khedira mengakui tidak kisah dengan keputusan tersebut memandangkan kemenangan pasukan lebih penting.

“Saya tidak kisah berdepan kritikan kerana tidak mudah puaskan hati semua orang. Apa yang penting sekarang adalah tidak ulangi aksi ketika bertemu Mexico kerana ia akan menyebabkan kami ter-singkir,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN