MOSCOW 16 Jun – Jerman perlu melupakan semua masalah yang dihadapi sebelum ini untuk memberi tumpuan kepada misi mempertahankan gelaran juara apabila mereka memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Mexico dalam Kumpulan F esok.
Ketika Manuel Neuer berjaya mengembalikan tahap kecergasannya selepas lapan bulan tidak beraksi, Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan menjadi mangsa kecaman penyokong Jerman selepas mereka bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos berkata, apa yang diperkatakan semasa program bual bicara tidak seharusnya memberi kesan kepada pemain dengan menyatakan: “Kami berada di sini untuk bermain bola sepak.”
Persembahan semasa skuad kendalian Joachim Leow menjadi perhatian banyak pihak terutama selepas mereka menang tipis ke atas Arab Saudi, yang tewas 0-5 kepada Rusia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia, selepas melepasi pusingan kelayakan dengan mata maksimum.
“Kami perlu tamak dan bersemangat, perkara ini akan menaikkan semangat kami dan kami akan berjuang sebaik mungkin di padang.
“Kami rasa kami berada dalam keadaan baik,” kata pertahanan Jerman, Jerome Boateng yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan pangkal paha.
Jerman menewaskan Mexico 4-1 semasa dalam perjalanan menjulang trofi Piala Konfederasi tetapi Kross percaya keputusan itu tidak mencerminkan situasi semasa.
“Kami tidak boleh memandang rendah lawan kami, meskipun kami muncul juara Piala Konfederasi tahun lalu.
“Kami mengambil serius perlawanan ini kerana ini perlawanan pertama kami dalam Piala Dunia,” katanya.
Jerman kini sedang dalam perjalanan untuk menjadi pasukan pertama berjaya mempertahankan kejuaraan sejak 56 tahun lalu selepas Brazil melakukannya pada 1962 tetapi pertahanan Mexico, Carlos Salcedo percaya, Jerman bukan pasukan yang tidak boleh dikalahkan.
“Mereka memang pasukan yang bagus tetapi bukan tidak boleh dikalahkan. Dalam bola sepak, perbezaan tahap permainan itu tidak ketara dan banyak faktor lain perlu diberikan perhatian.
“Hanya ada dua atau tiga pemain yang boleh menjaringkan lebih daripada dua gol, (Lionel) Messi, (Cristiano) Ronaldo dan Neymar adalah contoh pemain genius,” katanya. – AFP











