SARANSK – Jurulatih Jepun, Akira Nishino berseloroh bahawa mereka akan mengadakan pesta selepas ini setelah mencipta sejarah menundukkan Colombia 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H selepas pasukan lawan hanya beraksi dengan 10 pemain kelmarin.
Kejayaan Jepun itu menyaksikan mereka melakar kejutan besar selepas Colombia dile–takkan sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara Kumpulan H dan Nishino mampu menarik nafas lega apabila beliau yang dilantik pada April lalu sering meluahkan kebimbangan mengenai kekurangan masa membuat persiapan untuk pasukannya.
Pengendali berusia 63 tahun itu mengakui kemenangan tersebut telah memberikan suntikan motivasi yang tinggi buat skuad Samurai Biru apabila mereka menjadi pasukan dari Asia pertama menewaskan pasukan dari Amerika Selatan pada kempen Piala Dunia.
“Ia hanyalah satu perlawanan dan belum tiba masanya untuk meraikan kejayaan ini kerana masih banyak aksi yang perlu dihadapi dalam Kumpulan H.
“Kami perlu menangguhkan terlebih dahulu pesta untuk meraikan kejayaan ini, sebaliknya perlu menyelesaikan misi untuk beraksi dalam peringkat kumpulan terlebih dahulu,” kata Nishino.
Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh masa yang panjang selepas Carlos Sanchez diarah keluar padang pada minit ketiga perlawanan, sekali gus memberikan impak yang besar kepada skuad kendalian Jose Pekerman.
“Kami telah memasang impian sangat besar sebelum ber–depan Colombia dan akhirnya persediaan kami telah membuahkan hasil dengan apa yang telah diperoleh menerusi keputusan ini.
“Setiap pemain menunjukkan persembahan yang positif, terutamanya pada separuh masa kedua dan situasi tersebut membolehkan kami berjaya mengekalkan keputusan itu hingga tamat perlawanan,” ujarnya. – Agensi










