PERMATANG PAUH 28 Jun – Kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bukanlah kesilapan individu tetapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan kini sudah tiba masanya parti itu bangkit menjadi lebih kuat.
Calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin berkata, parti tidak boleh lagi mengulangi kesilapan lalu dan sedia membuka ruang seluas-luasnya kepada kritikan dan teguran dari ahli di bawah.
Menurutnya, parti itu akan disusun agar lebih mantap dalam persidangan Dewan Rakyat dan masuk sebagai parti yang kuatuntuk menjadi pendesak yang kuat kepada kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita ada maruah dan harga diri jadi sudah tiba masanya kita berubah menjadi lebih kuat serta tidak mengulangi kesilapan lalu sehingga mengabaikan suara ahli di bawah.
“Presiden UMNO juga tidak akan memiliki kuasa mutlak sehingga menanguhkan pemilihan dalam parti. Tak perlu tunggu pilihan raya baru nak buat pemilihan tapi ubahlah tiga tahun sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama UMNO Pulau Pinang, di sini malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Barisan Nasional negeri Datuk Omar Faudzar.
Khairy menambah, perjuangan dalam UMNO sekarang bukan lagi untuk pangkat dan jawatan tetapi untuk selamatkan bangsa Melayu yang akan diwarisi anak cucu.
Jelasnya, presiden UMNO yang akan dipilih nanti juga harus sedia mendengar suara di peringkat cawangan dan bahagian dalam semua perkara termasuk pemilihan calon pilihan raya. – UTUSAN ONLINE











