MENJELANG pemilihan UMNO pada 30 Jun ini, semakin galak pula pelbagai pihak khususnya daripada parti kerajaan ‘menyerang’ UMNO. Pada masa sama, ‘serangan’ dalam laman-laman sosial dan portal berita bertambah hebat.
Melalui ‘serangan-serangan’ tersebut, ia ternyata bertujuan bagi melemahkan semangat pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk bangkit semula. Selain mempertikaikan kewibawaan beberapa pemimpin, ada juga desakan dangkal yang mahukan UMNO meninggalkan perjuangan untuk orang Melayu, kata mereka perjuangan tersebut sudah tidak sesuai dengan perkembangan politik negara.
Persoalannya, apakah UMNO benar-benar perlu menggadaikan prinsip dan asas perjuangannya yang dipegang sejak 1946 semata-mata kononnya kerana Malaysia kini sudah memasuki era baharu yang politiknya tidak harus lagi berkaitan dengan sesuatu bangsa atau kaum?
Dalam berhadapan isu ini, penulis beranggapan, mereka yang mendesak UMNO supaya tidak lagi menjadi parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu sebenarnya berniat jahat. Mereka hakikatnya takut sokongan orang Melayu kepada UMNO yang boleh dianggap tidak berubah, biarpun Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Justeru, pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak boleh terperangkap dengan taktik jahat tersebut kerana memperjuangkan nasib orang Melayu dan mempertahankan umat Islam, Perlembagaan dan raja-raja Melayu bukanlah politik perkauman.
Sebagai sebuah parti yang ditubuhkan atas keringat dan air mata orang Melayu, UMNO tidak boleh begitu mudah menggadaikan prinsip dan asas perjuangan semata-mata mahu dilihat lebih terbuka dan tidak rasis. Tiada salahnya untuk kekal dengan perjuangan demi orang Melayu.
Selama inipun UMNO terus berjaya dalam pilihan raya termasuk menjadi parti tunggal memperoleh kerusi terbanyak dalam PRU-14 atas sokongan orang Melayu. Oleh itu adakah wajar hanya disebabkan kehilangan kuasa, maka segala-galanya mahu digadaikan semata-mata mahu mendapat kembali kuasa tersebut? Apa gunanya kuasa kalau akhirnya orang Melayu tiada lagi pembela sehingga mereka merempat di tanah air sendiri?
Penulis sedikit pun tidak peduli jika ada yang menganggap perjuangan mempertahankan orang Melayu dan umat Islam sebagai rasis atau belum keluar dari kepompong yang selari dengan nafas Malaysia baharu.
Bagi penulis, individu yang menyatakan demikian apatah lagi yang mengaku dirinya Melayu hakikatnya sudah terhakis kemelayuan kerana teruja dengan apa yang berlaku dalam PRU-14. Atas sebab itulah, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu memahami, selepas agenda meranapkan kuasa politik Melayu melalui UMNO berjaya dilaksanakan melalui PRU-14 kini agenda pihak-pihak tertentu ialah `menguburkan’ UMNO buat selama-lamanya. Mereka tidak mahu UMNO bangkit semula.
Mereka tahu ketika ini UMNO adalah parti Melayu terkuat. Selagi ada UMNO, selagi itulah usaha untuk meranapkan kuasa politik Melayu secara total akan menemui kegagalan. Justeru mahu tidak mahu, berakhirnya pilihan raya umum bukanlah bermakna ‘serangan’ terhadap UMNO perlu dihentikan. UMNO perlu ‘diserang’ secara berterusan bagi memecahbelahkan parti itu dan menghakis keyakinan ahli-ahlinya untuk bangkit berjuang.
Oleh itu mereka membangkitkan pelbagai isu untuk menunjukkan seolah-olah UMNO tidak boleh diselamatkan lagi dan sepanjang 61 tahun mentadbir negara bersama anggota komponen BN, tidak ada sebesar kumanpun kebaikan yang dilakukan oleh parti induk orang Melayu tersebut.
Soalnya, adakah pemimpin dan ahli-ahli UMNO akan membiarkan keceluparan puak-puak tersebut? Dan adakah mereka bersedia menggadaikan prinsip serta asas perjuangan untuk orang Melayu semata-mata kerana bimbang dituduh ‘belum keluar daripada kepompong politik lama’?
Apa salahnya berada dalam kepompong tersebut yang selama ini telah terbukti memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kaum lain? Sejarah politik negara selama 61 tahun sudah membuktikan biarpun UMNO menjadi tonggak pemerintahan negara, namun nasib kaum-kaum lain sentiasa terbela, biarpun kesudahannya keputusan pilihan raya umum membuktikan kaum berkenaan tidak menyebelahi BN.
Tetapi tidak mengapalah ini negara demokrasi. Adalah menjadi hak sesiapa juga mengundi siapa yang mereka mahu tetapi janganlah terus mendesak atau memberi tekanan kepada UMNO untuk meninggalkan prinsip dan asas perjuangannya.
Kita akui UMNO bukanlah parti yang sempurna. Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi biarlah ia dilakukan tanpa menjadikan prinsip dan asas perjuangan sebagai ‘korban’ mahupun pertaruhan.
UMNO perlu mengekalkan jati dirinya sebagai parti politik orang Melayu. Pedulikan ‘bisikan-bisikan jahat’ pihak-pihak yang mahu terus menghancurkan UMNO. Selagi pemimpin dan ahli UMNO berpegang kepada jati diri tersebut dan terus setia bersama parti biarpun tidak lagi memiliki kuasa, tiada mana-mana pihak mampu meranapkan UMNO sebagai antara salah satu lapisan benteng terakhir kuasa politik Melayu.
Justeru itulah pemilihan parti kali ini bukan sekadar memilih barisan terbaik untuk memastikan kesinambungan perjuangan tetapi lebih penting daripada itu menentukan UMNO tidak menggadaikan segala-galanya untuk meraih kembali kekuasaan.
Apatah lagi berbanding sebelum ini, perjuangan UMNO sekarang demi untuk orang Melayu dan umat Islam menjadi lebih mudah melalui tindak tanduk yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen BN. Kalau mereka menyatakan apa yang dilakukan termasuk meninggalkan BN adalah demi mengikut kehendak rakyat, apakah salah untuk UMNO kekal dengan prinsip dan asas perjuangan untuk orang Melayu? Fikirkanlah!










