Jangan beri tekanan kepada GLC, institusi diraja - Utusan Malaysia

Jangan beri tekanan kepada GLC, institusi diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan digesa tidak mengenakan tekanan terhadap institusi diraja, ketua-ketua dan peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) dengan memberi alasan terdapat perkaitan institusi dan golongan itu dengan kerajaan terdahulu yang dianggap tidak berintegriti.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO memberitahu, kerajaan hanya memanipulasikan fikiran rakyat dengan mengaitkan tangan-tangan ghaib kerajaan terdahulu dalam institusi diraja dan GLC satu selain satu usaha untuk mengaburi mata rakyat dengan mengaitkan semua ini dengan salah laku kerajaan terdahulu.

Berikut merupakan kenyataan penuh unit berkenaan mengenai kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan berusaha memberi tekanan kepada institusi diraja dan GLC;

Memuatkan artikel berkaitan…

1. Langkah Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan tekanan dengan memberi alasan kerajaan terdahulu tidak berintegriti dan mempunyai hutang yang banyak sehingga membebankan negara adalah satu tindakan yang tidak berhemah dan cuba memanipulasikan fikiran rakyat.

2. Peletakan jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (Bank Negara) diikuti peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM) serta bakal disusuli penggantian Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan semua GLC dilihat seolah-olah ada hubung kait dengan tekanan tangan ghaib dalam kerajaan.

3. Rakyat melihat semua tindakan Pakatan Harapan yang mengaitkan semua mereka yang meletakkan jawatan itu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah sebagai satu usaha kerajaan mahu memasukkan orang-orang tertentu ke dalam setiap jabatan dan agensi.

4. Ini adalah satu usaha untuk mengaburi mata rakyat. Dengan mengaitkan semua ini dengan salah laku kerajaan terdahulu, pihak-pihak tertentu dilihat menggunakannya sebagai cara pembersihan ke atas Bank Negara, TM, Bursa Malaysia malah syarikat-syarikat lain.

5. Selain itu, kami juga berasakan wujud satu usaha mengenakan tekanan ke atas institusi diraja sehingga hampir menimbulkan krisis dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu. Agak pelik juga, baru-baru ini Tommy dengan pantas memperkatakan bahawa 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) adalah keutamaannya.

6. Rakyat memerhati dan pasti bertanya dengan serius motif tulisan Datuk A. Kadir Jasin yang menulis ‘RM257 juta dibelanjakan untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam 16 bulan’. Apakah ini berniat memalukan institusi raja-raja Melayu serta menghasut perasaan rakyat agar membenci institusi raja-raja Melayu?

7. Ini tidak seharusnya berlaku, kecuali Pakatan Harapan ada niat untuk memperlekehkan Institusi raja-raja Melayu. Kerajaan memerintah sepatutnya bertanggungjawab memelihara nama baik institusi raja-raja, integriti pelbagai institusi kerajaan dan kepentingannya, bukan semakin merosakkan imejnya.

8. Rakyat juga tertanya-tanya apakah pelantikan Tommy sebagai tindakan yang berkemungkinan menjadikan institusi kehakiman sebagai ‘pelindung’ kepada dakwaan salah laku beberapa rakan yang rapat dengan kepimpinan Pakatan Harapan, baik di dalam mahupun di luar Kabinet.

9. Dengan pembebasan Rafizi Ramli daripada hukuman penjara, mungkin akan wujud pula usaha untuk melepaskan Lim Guan Eng daripada hukuman atas kesalahan rasuah, sedangkan kesnya seakan-akan sama dengan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

10. Walaupun rakyat berasakan memang menjadi tugas peguam negara untuk menjalankan siasatan ke atas kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan kes-kes lain, rakyat lebih tertanya-tanya apakah pendirian peguam negara yang baru apabila beliau menyatakan kepada media untuk ‘menguruskan kes-kes terpilih’.

11. Bagaimanakah status siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai tukaran asing ketika Tun Dr. Mahathir menjadi perdana menteri keempat, RCI peristiwa Memali dan isu pemberian kad pengenalan di Sabah?

12. Bukan setakat itu saja, apakah Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tiada siasatan dibuat ke atas tiga individu bilionair yang ada pertalian keluarga dengan kepimpinan Pakatan Harapan? Bagaimana pula siasatan ke atas skandal yang meruntuhkan Perwaja?

13. Di samping itu apakah siasatan tidak perlu dilakukan terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai isu pemberian permit import (AP) serta punca yang mendorong lambakan masuk kereta dari China dan Korea Selatan yang mana Dr. Mahathir sendiri menyatakan tidak bersetuju pada waktu itu?

14. Rakyat berharap mereka tidak dipermainkan dengan janji-janji manis sebelum pilihan raya. Selepas gagal mengotakan janji manifestonya, kerajaan Pakatan Harapan dilihat sengaja mengalihkan persoalan rakyat dengan pelbagai helah dan membentuk persepsi. Paling menyedihkan apabila mereka menghina negara sendiri dengan menerima ‘campur tangan asing’,

15. Sudah sampai masanya rakyat berfikir secara kritis mengenai sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan ini. Adakah kerajaan sekarang benar-benar ingin berkhidmat kepada negara dan rakyat, atau sekadar mahu berkuasa dan meletakkan semua sistem di bawah tapak kaki mereka?

16. Dalam erti kata lain, apakah mereka hanya mahu membongkar kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tetapi enggan diri sendiri disiasat? Adakah ini juga menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan tindakan politik balas dendam? – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini