KUALA LUMPUR – Rakyat diminta tidak mengambil mudah dan diperbuat sesuka hati institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bertitah ini kerana ia adalah institusi yang diiktiraf secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, baginda bertitah hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakan mereka bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya kepada negara.
“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat Beta, sewajibnya bukan sekadar diambil daripada sudut simbol semata-mata namun ketahuilah institusi ini ada tanggungjawab amat besar, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam ini.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.- Bernama










