Jadikan tsunami Aceh iktibar - Utusan Malaysia

Jadikan tsunami Aceh iktibar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI INI hingga 17 Jun mana-mana pemim­pin yang berhasrat ber­tanding jawatan Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO ter­masuk Presiden dan Timbalan Pre­siden boleh mendaftar diri.

Sudah pastilah pemilihan ka­li ini tidaklah semeriah mana. Khabarnya ramai pemimpin yang sebelum ini teruja untuk bertan­ding mula mengendurkan hasrat malah ada yang sudah membuat keputusan ingin memberi laluan kepada muka-muka baharu.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di peringkat Pusat ternyata memberi kesan kepada semangat pemimpin-pemimpin UMNO untuk terus berjuang.

Sebahagian besar mereka memahami sentimen rakyat yang mahu menyaksikan perubahan besar dalam kepemimpinan UMNO bagi mengembalikan maruah dan martabat UMNO sebagai parti ke­ramat orang Melayu.

Untuk bangkit semula, obor perjuangan UMNO perlu dihidupkan kembali. Usah gundah gulana terhadap tindakan pemimpin dan ahli parti itu yang meninggalkan UMNO. Tindakan itu sudah membuktikan mereka bukanlah pejuang tetapi sekadar menum­pang untuk menyara hidup de­ngan kuasa yang ada kepada UMNO. Parti ini tidak memerlukan pe­mimpin dan ahli seumpama itu.

Pada diri mereka tidak ada kesetiaan dan semangat perjua­ngan yang ada hanya kepentingan pe­ribadi.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah bagaimana sudah ada ura-ura beberapa pemimpin bertaraf ahli MT tidak berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan kali ini. Penulis percaya mereka sudah memikirkan semasak-masaknya apatah lagi dalam PRU-14 pun mereka tewas.

Namun, tidak semua yang tewas tidak layak bertanding atau semua yang menang layak bertanding. Ada yang kalah benar-benar kerana tsunami anak muda dan ada pula yang tewas ke­rana memang rakyat di kawasannya sudah menolak beliau. Begitu juga yang menang, ada antara mereka tidak perlu bertanding lagi jika boleh menimbulkan persepsi UMNO tidak berubah.

Bagaimanapun barisan kepe­mimpinan UMNO bukanlah harus diubah seratus peratus dengan meletakkan semua muka baharu.

Sebaliknya, perlu menggabungkan antara muka baharu dan muka lama. Paling penting pemilihan kali ini perlu benar-benar menampakkan ada perubahan dalam UMNO dari segi barisan kepemimpinan.

Jangan lihat sekarang tetapi lihat situasi lima tahun lagi apabila PRU-15 akan diadakan. UMNO perlu membuat persiapan untuk bangkit dan bagi tujuan tersebut UMNO memerlukan pejuang bukannya sekadar pemimpin.

Dalam kalangan ahli MT sedia ada, masih terdapat beberapa pemimpin yang boleh dipertimbangkan untuk dipilih semula terutamanya mereka yang berjaya mempertahankan kerusi di kawasan masing-masing.

Hakikatnya UMNO bukanlah ketandusan pemimpin pelapis. Ramai yang boleh diketengahkan tetapi malangnya mereka ditenggelamkan oleh warlord-warlord di peringkat bahagian.

Awal-awal lagi sudah dicantas. Justeru sudah sampai masanya, warlord-warlord ini di­singkirkan terutamanya di bahagian-bahagian yang tidak menyumbangkan kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum.

Ini termasuklah juga di kawasan yang sah-sah ketua bahagiannya tidak disukai rakyat. Jika UMNO mahu bangkit, tidak perlu lagi perasaan belas kasihan atau simpati kepada ketua-ketua bahagian seumpama itu, ‘pembersihan’ perlu dilakukan. Kete­ngahkan calon-calon berwibawa, berintegriti dan mampu meraih sokongan rakyat.

Ahli-ahli UMNO yang akan memilih barisan kepemimpinan tidak kira di peringkat apa sekali pun perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Fahami betul-betul pemilihan kali ini amat penting untuk survival UMNO.

Cukuplah sekali apabila pe­ringatan berhubung betapa pen­tingnya PRU-14 kepada parti tidak dipedulikan untuk pemilihan parti, kesilapan tersebut tidak boleh diulangi.

Memang benar apa yang berlaku dalam PRU-14 cukup melemahkan semangat dan memerlukan masa untuk pulih, tetapi kalau mereka benar-benar pejuang, kesemua pemimpin dan ahli UMNO akan segera bangkit dan menghidupkan kembali obor perjuangan UMNO yang semakin malap akibat hembusan ‘tsunami’ dalam PRU-14.

Sebab itulah UMNO memerlukan pejuang bukan sekadar pe­mimpin dalam pemilihan kali ini. Mereka terdiri daripada kalangan yang mempunyai kesetiaan tinggi, mempunyai semangat untuk memperjuangkan Melayu dan Islam yang kental serta disukai oleh rakyat.

Kekalahan teruk dalam PRU-14 bukanlah bermakna segala-gala­nya sudah berakhir kepada UMNO. Sebaliknya, apa yang terjadi pasti ada hikmahnya seperti mana Allah SWT mentakdirkan berlakunya tsunami di Aceh pada 2004.

Penulis yang ditugaskan membuat liputan tragedi tersebut masih ingat bagaimana di masjid-masjid ketika itu ulama mengingatkan umat Islam wilayah berkenaan supaya jangan terus bersedih sebaliknya perlu bermuhasabah menebus kesalahan dan memperbaiki kelemahan. Kata alim ulama tersebut, anggap­lah apa yang terjadi adalah kifarah Allah SWT untuk menjadikan Aceh lebih baik dan ternyata hasrat itu sudah tercapai kini. Aceh menjadi wilayah Islam contoh.

Begitulah juga UMNO. Sudah banyak kali isyarat diberikan oleh Allah SWT bahawa parti itu perlu berubah sama ada dari segi sikap mahupun pendekatan, tetapi ia seolah-olah tidak dipedulikan. Dan kini ‘tsunami’ itu datang, maka UMNO kehilangan kuasa.

Oleh itu, jadikanlah ia sebagai pengajaran. Contohilah kebangkitan penduduk Aceh.

Pilihlah barisan kepemimpinan yang benar-benar mampu menye­marakkan kembali obor perjua­ngan UMNO dan memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN