Isi borang balik kampung sebelum pulang beraya - Utusan Malaysia

Isi borang balik kampung sebelum pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri ini sekali lagi diingatkan untuk mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, ia bagi membolehkan polis mengetahui kawasan perumahan yang akan ditinggalkan dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah, khususnya pecah rumah. 

“Lebih 2,000 borang telah diisi di negeri ini dan kita menjangkakan jumlah ini akan meningkat pada saat-saat akhir menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Jumaat ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini, jumlah mereka yang mengisi borang balik kampung telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan kesedaran masyarakat dalam hal ini semakin baik. Mereka faham kepentingan mengisi borang itu,” katanya. 

Rosli berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anggota di Lapangan di Stadium Darul Makmur di sini semalam yang disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri,Senior Asisten Komisioner Othman Nayan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Senior Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh. 
 
Beliau menambah, selain mengisi borang di balai polis berhampiran, mereka yang ingin berbuat demikian juga boleh menggunakan aplikasi Peronda Telefon Pintar Sukarela (VSP) di telefon pintar atau melalui talian hotline 999.

Rosli turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum pulang ke kampung. 

“Mereka perlu pastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan dinasihatkan memasang lampu di tempat-tempat tertentu seperti di pintu rumah,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini