Interpretasi figura emas kanvas seni - Utusan Malaysia

Interpretasi figura emas kanvas seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benih yang baik, jika di daratan menjadi gunung, campak ke laut menjadi pulau. Begitu simbolik yang boleh menterjemah keberadaan figura emas milik sinema Melayu ketika ini, Fauziah Ahmad Daud, Fatimah Abu Bakar, Jalil Hamid dan Sabri Yunus.

Para pengkarya naskhah tempatan sering menggunakan khidmat mereka, antara barisan pelakon senior yang kredibiliti mereka bukan satu omong kosong. Datanglah berapa banyak pun pendatang baharu, wajah di antara mereka akan dipilih untuk turut serta memantapkan sesebuah jalan cerita.

Baik Sabri, Jalil, Fatimah atau Fauziah yang begitu sinonim dengan panggilan Ogy, mereka bukan sekadar penyedap jalan cerita. Sebaliknya, merekalah yang telah menyedapkan kebanyakan naskhah yang mendapatkan khidmat mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lihat sahaja bagaimana watak Jalil sebagai bapa bernama Wak Rosli menerusi filem Bisik Pada Langit yang ditayangkan pada tahun lalu mampu ‘memukul’ hati khalayak.

Sabri pula menjadi begitu tenar menerusi naskhah milik dan lakonannya, Pok Ya Cong Codei, Fatimah yang kini menawan penonton dengan toleransinya sebagai seorang ibu bernama Musalmah dalam drama hit Nur serta Ogy meluapkan kebencian terhadap sikap ego dan penting dirinya sebagai Suraya dalam Rahsia Hati Perempuan.

Kosmo! sengaja menggabungkan mereka dalam sebuah fotografi edisi khas untuk berbicara tentang penangan dan kualiti orang lama selain berkongsi bingkisan tradisi raya yang dijalani Sabri, Jalil, Ogy dan Fatimah.

Perubahan raya Jalil

Faktanya, selalu menonton aksi beliau di kaca televisyen atau layar lebar tetapi wajah Jalil Hamid jarang dipotret menghiasi akhbar atau majalah.

Hakikatnya juga, seiring usia meningkat, khidmat Jalil sudah semakin jarang digunakan, yang diakui beliau bahawa situasi tersebut terjadi kerana dua alasan.

“Ada yang kata harga saya mahal dan sejujurnya saya memang memilih naskhah yang ditawarkan,” ujar Jalil tanpa berselindung.

Aktor senior yang terbabit dalam ratusan drama dan filem yang begitu prolifik itu kemudian memanjangkan bicara. Beliau yang kini berusia 61 tahun mengakui tawaran masih banyak datang kepadanya tetapi ditolak jika pengarah sendiri tidak dapat memberitahu apakah matlamat watak yang diberikan kepadanya.

“Saya bukan seorang yang sukar tetapi setiap kali menerima tawaran walaupun ia hanya satu watak yang kecil, saya perlu tahu apa matlamat watak itu. Jika pengarah atau pihak produksi sendiri tidak dapat menjawab soal matlamat watak itu diwujudkan, bagaimana penonton mahu tahu tentang keperluannya? Jadi ya, saya tolak,” katanya.

Misalnya, kata Jalil, beliau berasa rugi jika ditawarkan sesebuah watak yang tiada hala tuju.

Katanya ringkas: “Sayang jika pelakon watak ayah atau datuk sekadar melepaskan batuk di tangga. Jika tidak seiring, ia mencacatkan dan menyusutkan nilai karya.”

Turut terkesan dengan soal bayaran yang kadang terlalu murah, kata Jalil, mentaliti seumpama itu juga harus dihakis daripada pihak produksi kerana jika mengikut resam padi, semakin tua makin berisi atau ia perlu lebih dihargai.

Namun tanpa berselindung, sesekali beliau perlu akur menerima tawaran yang akuinya ada kalanya tidak memberi ‘balas pukul’ daripada anak wayang baharu kerana kelangsungan hidup.

“Itu hakikat yang kita semua perlu akur,” ujar Jalil perlahan.

Mengajak aktor tersebut berbicara tentang sambutan rayanya, kata anak ketiga daripada lima beradik itu, kedatangan Syawal masa kini tidak akan pernah sama dengan sambutan pada musim perayaan dahulu.

Jika dahulu kebanyakan anak-anak atau umat Islam yang menyambut raya pulang ke kampung, kini sebaliknya.

“Terlalu banyak yang berbeza. Misalnya, dahulu bila kita kata raya balik kampung, kita betul-betul balik kampung. Sekarang, bila anak-anak saya, misalnya, kata balik kampung, mereka sebenarnya tetap beraya di bandar sebab ‘kampung’ mereka iaitu rumah saya hanya di Shah Alam, Selangor,” ujarnya yang sudah jarang meraikan Aidilfitri di kampung kelahirannya dan isteri di Johor Bahru.

Menanti juadah raya seperti sambal goreng Jawa, ketupat, rendang dan hasil tangan anak-anaknya yang sesekali memasak menu Barat, Jalil muncul dengan sebuah naskhah sempena raya berjudul Ketupat Aryana.

Fatimah raya di UK

Dengan sifat lemah lembut dan gaya lakonan yang hanya ada pada beliau sahaja, Fatimah Abu Bakar menjadi jenama pelakon yang sukar untuk ditekap. Sikap itulah yang membuatkan Fatimah terus relevan sehingga kini. Beliau ketawa sambil tangannya pantas mengusap tangan penulis. Katanya, beliau tidak menyedari hakikat itu.

“Ikhlas, jawapannya ikhlas dalam setiap perbuatan yang kita lakukan,” katanya sebelum kembali menyambung: “Bakat dan kerja keras saya bagaimanapun tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua pihak yang terbabit dalam sesebuah produksi. Saya selalu percaya itu, kerjasama.”

Begitu popular dengan wataknya sebagai Musalmah dalam naskhah fenomena Nur sepanjang Ramadan lalu, Fatimah mengaku watak yang akan selalu diberi kepadanya adalah watak seorang ibu. Bagaimana lagi mahu mewarnakan watak seorang ibu, yang pada hematnya bersifat tipikal.

Namun sebagai seorang pelakon, itulah cabarannya untuk selalu membuat ulang kaji dan menterjemahkan watak ibu yang berbeza setiap kali menerima tawaran yang sama.

“Saya akan mendapat watak ibu yang hampir stereotaip kerana pada dasarnya seorang ibu punya naluri keibuan. Di sinilah bagaimana saya perlu mengkaji dan mengambil semangat menerusi tontonan saya terhadap naskhah luar,” katanya yang menolak lima tawaran yang datang sewaktu dan usai penggambaran Nur kerana kekangan waktu.

Kekangan waktu itu termasuklah beliau mahu memberi fokus kepada keluarganya. Ujar ibu kepada empat cahaya mata perempuan yang semuanya berkecimpung dalam bidang seni itu, beliau tidak boleh meminggirkan peranannya sebagai ibu walaupun ada dalam kalangan anak-anaknya sudah berkahwin.

Malah kata Fatimah, walaupun sukar untuk membuang perasaan sayu apabila Sharifah Aleya, misalnya, menyambut raya di rumah mertua, beliau akan memastikan kesemua ahli keluarganya lengkap berhimpun di kediamannya pada Aidilfitri.

“Secara tradisinya, kami akan berkumpul di rumah dengan Sharifah Amani akan menyelesaikan hal hiasan rumah, adik-adik yang lain pula memasak. Dan di rumah saya, menu wajib ada adalah ayam golek,” ujarnya.

Cuma pada tahun ini mereka meraikan Aidilfitri di United Kingdom kerana dua anaknya, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana melanjutkan pelajaran di Universiti Cardiff.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini