KUALA LUMPUR 2 Jun – Institut Integriti Malaysia menyambut baik penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.
Menurut institut tersebut, usaha terbaharu berkenaan diyakini dapat bertindak sebagai satu pendekatan bagi yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti.
“Institut Integriti Malaysia mengalu-alukan dasar kerajaan pimpinan Dr. Mahathir yang telah mengumumkan beberapa pendekatan bagi memperkukuhkan tadbir urus baik dan integriti di samping mahu memerangi isu rasuah dengan menyeluruh.
“Kami juga menyambut baik penubuhan GIACC yang diumumkan semalam bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini,” kata institut tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, Institut Integriti Malaysia menyokong dan memberi kerjasama serta sedia berganding untuk melaksanakan dasar dan program kerajaan bagi menjayakan agenda memperkukuh nilai integriti selari dengan objektif Pelan Integriti Nasional.
“Dalam hal ini, Integriti berharap semua pihak akan terus memberikan sokongan padu bagi mencapai matlamat Pelan Integriti Nasional dan visi Institut Integriti Malaysia dengan lebih berkesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










