PUTRAJAYA 8 Jun – Bayaran insentif Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM450 kepada seramai 112,653 peneroka Felda di seluruh negara dijangka disalurkan pada 12 Jun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementeriannya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Felda melalui Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan pemberian insentif berkenaan
“Bagi peneroka yang mempunyai akaun dengan Felda, insentif ini akan terus dikreditkan kepada mereka, manakala bagi yang tidak mempunyai akaun dengan Felda, pembayaran akan dibuat secara tunai oleh pengurusan rancangan Felda masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa kerajaaan bersetuju supaya insentif Hari Raya Aidilfitri 2018 dibayar pada kadar RM450 bagi setiap peneroka Felda.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pembayaran insentif raya peneroka Felda itu tidak termasuk dalam Bantuan Sara Hidup Rakyat BSHR (BSHR) yang dibayar secara berasingan.
“Kerajaan telah mula menyalurkan RM1.6 billion kepada hampir 4.1 juta penerima BSHR mulai 6 Jun 2018,” katanya.










