PUTRAJAYA 6 Jun – Kira-kira 100,000 peneroka Felda dan 70,000 peserta Felcra di seluruh negara akan mendapat bayaran khas insentif Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM450, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri memberitahu, insentif raya untuk peneroka Felda yang keseluruhannya berjumlah RM50 juta itu akan dibiayai menerusi peruntukan kerajaan manakala dana insentif untuk Felcra yang berjumlah RM44 juta pula dibayar menerusi keuntungan syarikat berkenaan.
“Bayaran insentif kepada peneroka Felda dan Felcra ini adalah bayaran khas sebanyak RM450 yang akan diberikan kepada semua peneroka Felda termasuk yang bukan ahli serta (peserta) Felcra.
“Bayaran insentif ini akan disemak semula pada 2019 yang mana penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak lagi layak menerimanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jelas Dr. Mahathir, skim kawalan harga barang bersempena Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan dari 8 sehingga 22 Jun ini membabitkan 22 jenis barang kawalan.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan akan menjalankan kajian untuk melonggarkan syarat-syarat pinjaman bank bagi mempermudahkan golongan muda untuk memulakan perniagaan dan pembelian rumah.
“Syarat-syarat pinjaman bank yang ketat akan dikaji semula untuk membantu usahawan-usahawan kecil, mekanisme tertentu akan turut diperkenalkan bagi mempermudahkan golongan muda membuat pinjaman pembelian rumah pertama.
“Kita dapati bank sekarang ini mempunyai syarat yang terlalu ketat sehingga pinjaman daripada bank begitu sukar untuk ramai rakyat mendapatnya,” katanya.











