Implikasi Sarawak keluar BN - Utusan Malaysia

Implikasi Sarawak keluar BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14, pasti kepimpinan tertinggi BN tidak menjangka bahawa kekalahan teruk berlaku. Ketika itu, di belakangnya terdapat 13 parti dalam gabungan yang setia bersama.

Namun jatuhnya Putrajaya di tangan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan banyak parti komponen yang selama ini memuja gabungan Barisan Nasional (BN) bersikap oportunis dan bertindak mengkhianati BN. Daripada 13 parti menentang PH dan Pas, tidak sampai sebulan kekalahan BN kini tinggal empat sahaja gabungan yang tinggal.

Inisiatif Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang mengasaskannya pada tahun 1973 seolah-olah hampir berakhir ketika akhir pemerintahan anaknya, Najib Tun Razak. Gabungan ini yang dahulunya bertujuan menyatukan pemerintah dan pembangkang untuk memulihkan perpaduan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969, kini berada di persimpangan jalan. Inilah kekalahan paling buruk dalam tempoh 61 tahun.

Status BN Sabah

Di Sabah BN terdiri daripada UMNO dan parti berasaskan negeri iaitu PBS, PBRS, Upko dan LDP. Namun apabila BN kalah di Persekutuan dan negeri, maka UPKO keluar dari BN dan bergabung dengan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk peroleh majoriti bagi melayakkan pembentukan kerajaan negeri baharu. LDP, PBS, PBRS mengikut jejak keluar BN.

Yang tinggal cuma UMNO di Sabah. Ada juga anggota DUN UMNO keluar parti untuk sertai PBS bagi membentuk parti berasaskan tempatan. PBS bersekutu bersama STAR sebuah parti pembangkang seterusnya menubuhkan Gagasan Bersatu. Parti Harapan Rakyat Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Lajim Ukin pula mula membina pengaruh dengan membawa ahli Dun dan Parlimen bernaung di bawah parti tersebut dan dijangka bersekutu dengan PH.

BN Sarawak

BN di Sarawak di bawah kepimpinan ketua menteri terdahulu Tan Sri Adenan Satem telah menikmati kemenangan besar di bawah BN dengan memperoleh 72 daripada 82 kerusi DUN pada PRN 2016. Namun selepas Datuk Patinggi Abang Johari Openg mengambilalih kepimpinan Adenan dan menerajui pilihan raya umum baru-baru ini, BN Sarawak cuma memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen berbanding prestasi 2013 dengan 25 kerusi.

Ini bermakna enam kerusi telah jatuh dan kesemua enam kerusi bumiputera Iban dan Bidayuh yang jatuh disebabkan isu setempat dan pemilihan calon.

Sarawak keluar BN

Kepanikan politik akibat BN tewas di Putrajaya di tangan PH dan kebimbangan akan kehilangan kuasa politik parti komponen dalam kalangan PBB, PDP, PRS dan UPP menyebabkan empat komponen yang selama ini bernaung di bawah BN kini bertindak keluar.

Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor menyatakan bahawa, “apa lagi yang boleh kita buat, apabila kita jatuh, sebagai sahabat kita perlu bersama tetapi sejak mereka memilih laluan itu (keluar BN), apa lagi boleh kita lakukan,”katanya. Pengerusi Biro Media dan Komunikasi BN, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata BN berlapang dada walaupun berat hati menerima keputusan parti komponen Sarawak membuat keputusan meninggalkan parti itu.

Implikasi politik

Selama ini orang Melayu dan bumiputera Sarawak melihat BN sebagai pelindung kepentingan mereka. Kelompok ini tidak melihat faktor calon sebaliknya faktor logo BN penyebab kemenangan besar. Apabila tidak lagi menggunakan logo BN, sudah pasti ada pihak tertentu akan mengguna logo ini bersekutu dengan BN apabila pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada 2021.

Malah UMNO boleh memperluas pengaruh di Sarawak untuk meraih undi bumiputera Islam. Hal ini boleh berjaya dilakukan jika cawangan UMNO di Sarawak mempunyai kepimpinan bersih, berintegriti dan popular serta memahami budaya bumiputera Islam Sarawak.

Faktor penggunaan logo BN ialah penyebab BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi Dun negeri yang dipertandingkan. Justeru, sangat sukar untuk mempertahankan jumlah kemenangan tersebut. Ia umpama bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. Tambahan, kemenangan PRN 2016 disebabkan populariti Adenan Satem yang lebih memahami denyut nadi rakyat Sarawak.

Kepentingan Parti

Tindakan keluar BN dilihat usaha mereka untuk menjaga kedudukan komponen daripada serangan PH pada PRN 2021. Namun tidak ada jaminan bahawa PKR, DAP dan PAN, malah PPBM tidak boleh bertanding di kawasan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Hal ini sesuai dengan kenyataan bahawa kerajaan negeri bekerjasama dengan PH akan tetapi tidak menyertai Kerajaan Persekutuan.

Tindakan keluar ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kedudukan pimpinan empat komponen parti tidak terjejas setelah terlalu selesa menikmati pelbagai jawatan di bawah BN yang kini sudah tewas. Namun tanpa reformasi struktur dan kepimpinan, ia hanyalah seperti ular bersalin kulit tapi isi tetap sama tanpa perubahan dalaman. Tindakan ini lebih dilihat sebagai tuak lama dalam botol baru.

Paling tidak pun dilihat sekadar menukar baju sedangkan mereka di pimpinan tertinggi masih orang yang sama tanpa perubahan. Reformasi institusi seperti pengehadan jawatan ketua menteri tidak melebihi dua penggal perlu dilakukan seperti dilakukan oleh negeri-negeri di bawah PH. Komponen yang keluar BN ini dahulu dianggap setia, tidak berpaling tadah, berebut-rebut menghalang UPP menyertai BN akan tetapi kini dilihat sanggup khianati BN.

Kepimpinan BN Sarawak dahulu banyak memuji kepimpinan Najib dan memperlekeh PH yang dituduh dengan pelbagai isu seperti Tun Dr. Mahathir ‘malas’, tidak pedulikan Sarawak, cuba mengambilalih SESCO dan menutup bank tempatan, boneka DAP dan sebagainya. Malah BN Sarawak pernah mengharamkan Nurul Izzah dan Zuraida Kamaruddin menjejak kaki ke Sarawak. Sudah tentu hubungan baru GPS Sarawak ini agak kekok dengan Kerajaan PH.

Prestasi parti komponen

Isu Petronas dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak dapat diselesaikan GPS setelah lebih 50 tahun bersama BN. Begitu juga isu parti sama menerajui Sarawak dan isu asas seperti bekalan air bersih dan kemudahan infrastruktur asas masih juga berlaku. Hal ini bukanlah disebabkan masalah keputusan dibuat di Persekutuan dan tidak difahami kenapa alasan itu dikemukakan sekarang oleh GPS.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana selama ini kebanyakan ahli Parlimen Sarawak menganggotai Kabinet terbesar dalam kerajaan BN terdahulu. Apatah lagi, selama puluhan tahun mereka mempunyai lebih 20 ahli Parlimen BN Sarawak di Dewan Rakyat dan menganggotai gabungan yang kuat dan menjadi pemerintah negara dengan majoriti besar. Malah ada yang melihat kebanyakan ahli Parlimen kurang berperanan dan ADUN sepatutnya lebih proaktif menyelesaikan pembangunan kerana telah berpuluh tahun menjadi ahli DUN BN.

Ternyata apabila bersikap oportunis dan bertindak keluar dari BN, maka tidak perlu menyalahkan Putrajaya sedangkan sebelum ini Sarawak ialah deposit tetap dengan kemenangan majoriti besar DUN dan Parlimen BN di Sarawak. Selama ini BN Sarawak diberikan kebebasan seperti penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua, adanya syarikat minyak Petros dan bank pembangunan sendiri.

Jadi tidak timbul isu mahu lebih kebebasan oleh kerajaan negeri Sarawak. Isu lebih penting ialah sejauhmanakah GPS memastikan pimpinan parti lebih berintegriti, bebas rasuah, meraikan demokrasi dengan membuka semua jawatan parti untuk dipertandingkan dan memperkenalkan pembangunan yang lebih realistik untuk rakyat.

Kini jelas keputusan keluar BN lebih kepada kepentingan politik kerana sebelum ini kepercayaan tinggi diberikan rakyat Sarawak kepada BN kerana majoriti rakyat mengundi atas tiket BN. Adakah ini memerlukan semua ahli Parlimen dan DUN Sarawak perlu menjadi ahli bebas? Hal ini kerana ketika dicalonkan, watikah tersebut ditandatangani oleh pengerusi gabungan berdaftar BN.

Kini cuma ada UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dalam BN dan tidak ada jaminan politik untuk mereka terus kekal. Namun jelas, kemenangan MCA dan MIC kerana sokongan pengundi Melayu. Oleh itu apa yang berlaku di Sarawak akan turut mempengaruhi pola parti-parti lain. Kini, hampir semua komponen BN Sabah juga dijangka melakukan tindakan sama umpama pokok tumbang kura-kura pun turut memanjat. Sudah pasti ini akan meremukkan lagi semangat UMNO dalam pemilihan nanti kerana ia dilihat parti teras dalam BN.

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya yang berkhidmat di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN