MELAKA – UMNO Bahagian Tangga Batu mendesak Datuk Seri Idris Haron (gambar kecil) melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian itu dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Tangga Batu di sini kelmarin.
Desakan itu dikemukakan di hadapan 32 AJK Bahagian menerusi satu usul meminta beliau bertanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, Idris yang telah memegang jawatan itu selama 10 tahun difahamkan tidak meneruskan mesyuarat sejurus usul itu disuarakan oleh salah seorang AJK lalu terus keluar bersama tujuh yang lain.
Timbalan Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata, mesyuarat itu terpaksa diteruskan dengan perbincangan yang dipengerusikannya.
“Pada hujung mesyuarat, salah seorang AJK mengemukakan usul meminta Idris bertanggungjawab terhadap kekalahan pada pilihan raya lepas dengan melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka.
“Seramai 19 AJK bersetuju dengan usul tersebut manakala dua membantah serta dua lagi berkecuali,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Tangga Batu di sini kelmarin.
Katanya, bagaimanapun keputusan tidak boleh dimuktamadkan sehingga mesyuarat seterusnya yang akan dipengerusikan oleh Idris.
Idris sebelum ini mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selain Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan UMNO hujung bulan ini.
Kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu bakal dicabar oleh calon daripada AJK Bahagian, Datuk Seri Ali Muhammad.
Pada PRU-14, BN Melaka hanya memenangi 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri dan gagal membentuk kerajaan negeri.










