Ibu tunggal besarkan lima anak berlantaikan tanah - Utusan Malaysia

Ibu tunggal besarkan lima anak berlantaikan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 5 Jun – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu gambaran nasib seorang ibu tunggal yang bukan sahaja diceraikan, malah terpaksa membesarkan lima orang anak di teratak usang yang terlalu daif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rumah yang berbumbungkan atap zink dan berlantaikan tanah itu terlalu berisiko untuk didiami kerana air hujan akan memasuki rumah di samping risiko kehadiran binatang buas dek kerana lobang yang terlalu banyak.

Malah, rumah yang terletak di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa hanya mempunyai satu bilik tidur dan bilik mandi tanpa tandas.

Lebih memilukan, Siti Norafizah Hussein, 33, pernah mengalami kemalangan sehingga lima besi ditanam dalam tubuhnya sekarang.

Wanita cekal yang meraih pendapatan harian sebanyak RM30 sehari itu menjual kuih-muih, kerabu dan lauk-pauk dari rumah ke rumah sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kadang-kadang, ada juga saya tolong jualkan barang makanan orang lain. Alhamdulillah, setiap kali keluar berniaga, barang jualan pasti habis dibeli penduduk kampung.

“Kalau hendak harapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan memang tidak cukup. Malah, saya juga banyak kali memohon bantuan zakat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) tetapi tidak pernah lulus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Terdahulu dia menerima sumbangan daripada program Kita Kongsi anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi); Hotel GRV dan portal, Kelantan Creative TV (KCTV).

Yang turut hadir ialah Pengarah Jualan dan Pemasaran, Hotel GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas.

Dalam pada itu, Siti Norafizah meluahkan kekecewaan kerana tidak pernah dikunjungi oleh wakil rakyat kawasannya sepanjang bulan puasa ini.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Siti Norafizah Hussein di 03001-41-00005854-3 atau boleh menghubunginya di 013-5245056. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN