MUKAH – Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun cedera selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 56, Jalan Mukah-Selangau di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Nuli Sulang, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Bezza bersama anaknya dikatakan dalam perjalanan menuju ke Mukah dari arah Selangau.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 5 meter.
“Mangsa yang tercampak keluar dari kereta itu mengalami kecederaan parah, manakala anaknya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K!ONLINE










