Ibu bapa ghaib lepas hantar anak - Utusan Malaysia

Ibu bapa ghaib lepas hantar anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 18 Jun – ‘Ghaib’ lepas hantar anak.

Itu yang didedahkan oleh Pengetua Taman Sinar Harapan Jubli di sini, Siti Hajar Yang Omar ketika mencerita­kan nasib sebahagian daripada penghuni di institusi berkenaan.

Siti Hajar berkata, hampir 70 peratus ibu bapa dan waris bertindak ‘kejam’ apabila menghilangkan diri selepas menghantar anak-anak mereka ke sana.

Katanya, kesemua penghuni berusia antara 13 hingga 35 tahun itu terdiri daripada golongan wani­ta dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), menghadapi masalah pembelajaran dan lembam.

“Sepatutnya penghuni hanya berada di sini dalam tempoh tiga tahun di mana kita akan ajar mereka dengan pelbagai kemahiran seperti memasak, refleksologi, salon rambut, anyaman dan mencanting batik agar mereka dapat berdikari sendiri selepas tamat tempoh berkenaan.

“Malangnya, ada ibu bapa yang ‘lepas tangan’ dan menghilangkan diri hingga gagal dikesan selepas mereka menghantar anak-anak istimewa ini di sini seawal usia 13 tahun,” katanya kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa anjuran Mutiara Motors di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Kemin.

Siti Hajar berkata, terdapat juga kes di mana saudara mara penghuni yang menjadi waris selepas kematian ibu bapa mengambil wang saku mereka, bagaimanapun ia adalah kes yang terpencil.

“Setiap penghuni yang masuk ke sini diberikan wang saku sebanyak RM30 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada setiap bulan sepanjang tiga tahun mereka tinggal di sini.

“Namun, ada juga kes yang mana seorang penghuni yang telah kehilangan ibu dan ayah­nya yang mana ibu saudaranya mengambil wang sakunya sepanjang tiga tahun di sini, kemudian ibu saudaranya itu pulangkan semula penghuni itu ke sini kerana tidak mahu menjaganya,” kata­nya.

Ujar Siti Hajar, tidak kesemua ibu bapa atau waris yang tidak bertanggungjawab kerana ada yang masih menjenguk anak-anak mereka dan sering bertanya khabar menerusi telefon.

Sehingga kini, taman berke­naan mempunyai seramai 78 peng­huni dari seluruh negara selain 94 kakitangan termasuk 46 pembantu yang menyelia penghuni terutama yang OKU.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN