KUALA LUMPUR 19 Jun – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang mewajibkan pesalah vandalisme menjalani program khidmat masyarakat sebagai ‘pemulihan’ berkesan untuk memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata, pelaksanaan undang-undang itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan menghargai tempat awam selain menjimatkan kos penyelenggaraan dan baik pulih yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Vandalisme berlaku di mana-mana di dunia dan setiap negara mempunyai cara yang tersendiri untuk membendung perlakuan itu.
“Biar mereka (pesalah) lakukan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti bersihkan tangga, cuci longkang dan menyapu sampah kerana ia satu bentuk tarbiah yang bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Iftar dan Infaq Perdana Parlimen Ampang di Masjid Taman Kosas di sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, pelaksanaan peraturan itu akan dilakukan kerajaan melalui Dasar Komuniti Negara bagi mewujudkan masyarakat yang lebih menghargai harta benda awam dan bertanggungjawab.











