Houthi serah pelabuhan ke PBB - Utusan Malaysia

Houthi serah pelabuhan ke PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 22 Jun – Kumpulan militan Houthi di Yemen dijangka menyerahkan pengurusan pelabuhan Hodeidah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus membayangkan wujudnya penyelesaian terhadap konflik kemanusiaan paling buruk di dunia.

Menurut seorang diplomat barat yang enggan dikenali, kumpulan itu juga dijangka menerima semua peraturan PBB berhubung pemeriksaan dan pengurusan pelabuhan berkenaan.

Katanya, PBB akan menyelia pendapatan yang diperoleh dari pelabuhan berkenaan sebelum menyalurkannya kepada bank pusat Yemen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Arab Saudi telah memberi isyarat yang positif berhubung perkara ini kepada utusan PBB sejak 24 jam lalu.

“Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga memberi maklum balas yang sama tetapi usaha untuk mengadakan perjanjian akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Diplomat itu, bagaimanapun mengingatkan bahawa perjanjian berkenaan memerlukan persetujuan daripada semua pihak yang terlibat dalam konflik berkenaan justeru gencatan senjata segera tidak akan berlaku pada peringkat awal.

Utusan PBB, Martin Griffiths berada di Sanaa, Yemen dan Jeddah minggu ini bagi mencari jalan penyelesaian.

Semalam Griffiths menyatakan keterujaannya dengan persetujuan diberikan kumpulan Houthi dan akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden Yemen, Abd. Rabbuh Mansour Hadi.

Pelabuhan Hodeidah merupakan pintu masuk utama bekalan kepada Yemen dan PBB telah memberi amaran pertempuran sengit dalam bandar itu akan mengancam beribu-ribu penduduk.

Arab Saudi dan UAE berjanji melaksanakan operasi ketenteraan yang singkat untuk mengambil alih lapangan terbang dan pelabuhan tanpa memasuki kawasan tengah bandar itu bagi mengurangkan kemalangan jiwa dalam kalangan penduduk awam selain memastikan aliran bekalan barangan penting berjalan lancar. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini