KUALA LUMPUR 6 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan meneliti dan mempertimbangkan sebarang keputusan untuk bertanding dalam pemilihan parti pada 30 Jun ini.
Hishammuddin tanpa menyebut jawatan dipertandingkan berkata, beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan semua ahli di peringkat akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, apa yang penting semua pihak perlu berpegang kepada prinsip perjuangan parti tanpa ada sebarang unsur bagi melemahkan UMNO.
“Ini sesuatu yang tengah saya fikirkan sedalam-dalamnya dan mendengar pendapat daripada rakan-rakan di peringkat akar umbi. Saya akan buat keputusan.
“Cuma bagaimana cara saya menyumbang kepada parti masih lagi difikirkan dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Saya juga tidak akan lari dari UMNO sama ada ketika masih pegang jawatan atau tiada jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Tambah Hishammuddin, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu berubah dan tidak hanya melihat kepada jawatan yang dipertandingkan semata-mata.
Menurutnya, sesiapa yang mahu bertanding dan merebut jawatan perlu mempunyai rasa tanggungjawab bagi memulihkan parti itu selain meraih sokongan rakyat di negara ini.
“Jawatan tak penting. Pertandingan adalah pertandingan. Apa yang penting adalah sumbangan untuk bekerja pada masa hadapan bagi memulihkan parti.
“Tanggungjawab untuk memulihkan parti bukan sesuatu yang ringan. Letakkan kepentingan UMNO sebagai perkara utama dahulu,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain Hishammuddin berkata, beliau hormati keputusan Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Jalil untuk tidak bertanding kali ini.
“Dia (Shahrizat) dah jawab dan tidak akan lepas bulat-bulat. Malah dia juga tidak akan abai tugas dia untuk membimbing parti,” katanya.











