PUTRAJAYA 18 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (gambar) menjelaskan bahawa kenyataannya berhubung harga barang makanan telah turun antara 30 hingga 50 peratus baru-baru ini dibuat secara umum.
Beliau berkata, kenyataan tersebut tidak boleh diandaikan berlaku di seluruh negara dan untuk semua bahan makanan memandangkan kajian ke arah itu belum lagi dilakukan sepenuhnya.
“Saya mengambil maklum bahawa kenyataan saya mengenai harga bahan makanan telah turun sebanyak 30 hingga 50 peratus telah menimbulkan kekeliruan.
“Kenyataan tersebut dibuat secara spontan hasil makluman orang awam kepada saya di beberapa lokasi dan juga laporan tinjauan umum terhadap penurunan harga bahan keperluan. Selain itu, ia juga dibuat berdasarkan pemerhatian saya terhadap harga bahan makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipasarkan terus oleh petani di pasar tani,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini, Jumaat lalu, Salahuddin berkata, barang keperluan asas seperti ayam, sayuran dan daging lembu turun antara 30 hingga 50 peratus sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
Menyentuh mengenai kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah disifarkan bermula awal bulan ini, katanya, biarpun GST tidak dikenakan terhadap bahan makanan asas, keputusan tersebut amat baik dalam menurunkan kos pengeluaran di sepanjang rantaian nilai terutamanya kos berkaitan input, kejenteraan dan perkhidmatan logistik pertanian.
Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan pihak kementerian untuk membuat penilaian keseluruhan terhadap kesan kadar sifar peratus GST ini terhadap kos pengeluaran makanan dan seterusnya kepada harga bahan makanan.










