PUTRAJAYA – Kebanyakan barang keperluan dijual pada harga lebih murah di seluruh negara selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Roslan Mahyuddin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan bersama-sama pihak kastam, beliau mendapati harga beberapa barang lain seperti milo, kicap, produk pewangi dan televisyen turut turun.
“Sebagai contoh, harga sebuah pembersih vakum jenama Sharp yang sebelum ini dijual pada harga RM259 kini dijual dengan harga RM239. Ia satu petanda yang bagus kepada pasar raya ini kerana menurunkan harga produk itu lebih daripada enam peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Roslan menambah, pihak KPDNKK mengadakan pemeriksaan secara serentak di bawah Ops Catut 4.0 selama sebulan di seluruh negara bermula semalam.











