Hanya tukang masak tempatan - Utusan Malaysia

Hanya tukang masak tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kementerian Sumber Ma­­nusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi, kami beri masa hingga 31 Disember ini untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” katanya ketika ditemui Bernama News Channel di sini semalam.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persa­tuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya.

Katanya, kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan Prisma serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Kulasegaran berkata, langkah ini dapat mengurangkan kebergantu­ngan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata, tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang mela­rang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden Prisma, P. Muthusamy berkata, keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Muthusamy berharap, kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata, masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN