KUALA LUMPUR 2 Mei- Kegagalan mendapat barisan skuad terbaik membuat pengendali skuad wanita negara, Jacob Joseph sekadar menyasarkan dua kemenangan di peringkat kumpulan dalam Kejohanan AFF Wanita 2018 di Palembang. Skuad kebangsaan diletakkan dalam kumpulan A bersama Thailand, Australia, Timor Leste dan Kemboja dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 30 Jun hingga 13 Julai ini. Tambahnya, sasaran itu adalah realistik dengan hanya sembilan pemain daripada skuad Sukan SEA 2017 kekal bersama pasukan dan lima pemain bawah 19 tahun bersama muka baharu yang lain melengkapkan senarai 25 pemain. “Sebenarnya pemain yang saya mahu menyatakan tidak berminat bermain bola sepak sebaliknya mereka memilih untuk bermain futsal kerana Liga Futsal Kebangsaan sedang berjalan ketika ini. Oleh itu, saya terpaksa mencari pemain baharu untuk membentuk pasukan. “Cabaran kali ini, saya hanya mensasarkan pasukan negara mampu meraih enam mata iaitu dengan menewaskan Kemboja dan Timor Leste, dalam masa sama kita akan cuba elak daripada tewas besar kepada Thailand dan Australia,”katanya dalam sidang akhbar ketika majlis berbuka puasa bersama skuad wanita negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini. Turut hadir, Exco Wanita FAM merangkap pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Suraya Yaacob yang turut memberi duit raya kepada setiap pemain. Sebelum mengharungi kempen di Palembang, skuad negara akan ke Bangkok, Thailand bagi mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Thailand pada 8 Jun, Thailand B (10Jun) dan Chonburi FC (12Jun).-UTUSAN ONLINE










