Hala tuju jelas, barisan kepimpinan baharu mampu bendung isu wakil rakyat keluar parti  - Utusan Malaysia

Hala tuju jelas, barisan kepimpinan baharu mampu bendung isu wakil rakyat keluar parti 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, parti siasah berkenaan sememangnya memerlukan seorang Presiden dan barisan kepimpinan yang baharu bagi mengelak lebih ramai wakil rakyat meninggalkannya. 

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perkara yang berlaku merupakan satu isyarat jelas kepada peringkat akar umbi serta perwakilan mengenai kepentingan untuk membawa perubahan dalam parti. 

“Situasi ini berlaku apabila tiada hala tuju yang jelas selain kepimpinan sedia ada tidak mampu untuk memberi keyakinan kepada Ahli-ahli Parlimen apabila dua daripada mereka membuat keputusan meninggalkan saf UMNO dan Barisan Nasional (BN). 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejujurnya saya sangat sedih dan terkejut kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku tetapi ia masih terjadi berikutan tiada kepimpinan yang dapat mengawal keadaan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Calon Presiden UMNO di Sutra Beach Resort, Merang di sini hari ini. 

Hari ini, seorang lagi Ahli Parlimen di Perak mengumumkan keluar daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali membuat keputusan sama pada Ahad. 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keluar UMNO dan BN berkuatkuasa 1 Julai depan selepas mendakwa kecewa dengan proses pemilihan kepimpinan Ketua Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gantang sesi 2018-2021 pada 23 Jun lalu. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini