Hajat jumpa Jepun tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hajat jumpa Jepun tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Peluang England untuk berdepan ‘lawan mudah’, Jepun di pusingan 16 pasukan terbaik hancur berkecai selepas tewas 0-1 kepada pasukan No. 2 dunia, Belgium pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Kaliningrad, Kaliningrad, Rusia awal pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

England turun pada perlawanan ini dengan misi memburu tiga mata bagi merekodkan tiga kemenangan bersih, sekali gus muncul juara kumpulan bagi menempah laluan dengan Jepun yang menjadi naib juara Kumpulan H.

Namun, hasrat skuad kendalian Gareth Southgate itu tidak kesampaian apabila ‘dirampas’ Belgium yang mengutp tiga mata dalam perlawanan ini menerusi jaringan Adnan Januzaj, sekali gus muncul juara kumpulan dengan rekod bersih tiga kemenangan.

Keputusan ini menyaksikan skuad The Three Lions itu bakal berdepan wakil Amerika Selatan, Colombia yang menjuarai Kumpulan H manakala Belgium pula dijadual bertemu Jepun selepas wakil tunggal Asia itu layak menerusi peraturan ‘fair play’.

Kedua-dua pasukan telah pun layak ke saingan kalah mati hasil dua kemenangan sebelum ini dan pertemuan pagi tadi hanyalah penentu kepada juara kumpulan.

Strategi Southgate yang melakukan lapan pertukaran dalam skuadnya yang membelasah Panama 6-1 Jumaat lepas jelas memakan diri apabila anak-anak buahnya gagal menghadirkan sebarang jaringan meskipun mendapat beberapa peluang keemasan.

Kapten, Harry Kane dan Raheem Sterling direhatkan manakala hanya Ruben Loftus-Cheek, John Stones dan penjaga gol Jordan Pickford merupakan tiga pemain yang dikekalkan.

Penyerang muda, Marcus Rashford diturunkan bergandingan dengan bintang Leicester City Jamie Vardy di jentera serangan manakala Gary Cahill diberi peluang membuat penampilan pertama bersama pertahanan Manchester United, Phil Jones.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez turut merehatkan beberapa pemain bintangnya seperti Eden Hazard dan Romelu Lukaku serta menurunkan beberapa pemain simpanan termasuk adik Hazard, Thorgan di perancang tengah bersama pemain United, Marouane Fellaini dan pemain lincah Real Sociedad, Januzaj.

Percaturannya dilihat lebih berjaya apabila Belgium menguasai hampir keseluruhan permainan dengan beberapa gerakan menarik serta percubaan yang tepat berbanding England.

Tatkala England lebih rela dengan keputusan seri, muncul Januzaj yang merembat cantik gol kemenangan Belgium pada minit ke-51 untuk membawa pasukannya bertemu Jepun pada awal pagi Isnin depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN