Hafizh kekal konsisten pada GP Itali - Utusan Malaysia

Hafizh kekal konsisten pada GP Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello malam tadi membolehkan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah terus menerajui carta senarai pelumba baharu (rookie) terbaik musim ini.

Hafizh yang merupakan pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 mengutip empat mata menerusi kedudukan ke-12, manakala pencabar terdekat bagi kategori pelumba baharu, Franco Morbidelli sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Pada perlumbaan malam tadi, Hafizh memulakan saingan di petak ke-14, namun pada dua pusingan terakhir, pelumba negara berusia 24 tahun itu dilihat lebih agresif apabila memintas beberapa pelumba sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 42:05.665s.

“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat sukar, lebih-lebih lagi keada­an cuaca sangat panas. Bagaimanapun, terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang cukup baik bagi perlumbaan kali ini.

“Saya akui jentera sedikit bergelut ketika melalui laluan lurus, namun saya berjaya mengejar pelumba-pelumba di depan apabila memasuki selekoh. Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi perlumbaan ini,” kata Hafizh.

Tambah Hafizh, ketika perlumbaan hampir tamat, dia terpaksa mengerah jentera ke tahap maksimum sebelum berjaya memintas pelumba Reale Avintia, Tito Rabat di selekoh terakhir, sekali gus menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.

“Pada pusingan terakhir, saya memaksa diri saya untuk mengejar Rabat dan ia nyata menyuntik semangat saya. Ketika memasuki selekoh terakhir, saya berjaya memintasnya dan saya sangat berpuas hati,” ujarnya.

Hafizh kini mendahului saingan bagi kategori pelumba baharu apabila menghuni kedudukan ke-16 dalam senarai keseluruhan, hanya dibezakan satu anak tangga dengan Morbidelli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN