Guna suara hati tentukan pemimpin layak - Utusan Malaysia

Guna suara hati tentukan pemimpin layak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 29 Jun – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berharap para perwakilan menggunakan suara hati dalam memilih pemimpin yang layak untuk membawa perubahan di dalam UMNO pada pemilihan parti itu, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, para perwakilan perlu menggunakan kuasa undi mereka dalam menentukan barisan terbaik mengemudi parti dan jangan sesekali tunduk terhadap apa jua faktor atau ugutan khususnya membabitkan tindakan sesetengah pihak yang cuba membeli undi.

“Para perwakilan, undilah secara bermaruah bukan undi kerana diarah atau dibeli. Saya harap para perwakilan dapat membuat perubahan besar dalam menentukan pemimpin yang akan menerajui UMNO pada pemilihan esok.

“Pemilihan kali ini sangat penting kerana ia bukan sahaja dinantikan oleh ahli UMNO tetapi rakyat secara keseluruhannya. Rakyat ingin lihat kita dapat membuat perubahan yang besar di dalam parti seterusnya mengembalikan kepercayaan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan ahli UMNO negeri di Dewan 2020 di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap Khairy berkata, para perwakilan perlu membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO sudah berubah dengan mereka perlu memainkan peranan melakukan perubahan dalam memilih barisan kepemimpinan baharu parti keramat orang Melayu itu.

“Kalau hendak ubah, kita kena ubah secara habis-habisan. Tunjukkan UMNO sudah berubah. Rakyat tidak tolak UMNO tetapi mereka cuma menghantar isyarat supaya orang Melayu dan UMNO itu sendiri dapat berubah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN