PUTRAJAYA 29 Jun – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dituntut menghormati kedudukan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan dan menjadi contoh kepemimpinan yang mengutamakan penggunaannya.
Selain itu, Guan Eng juga digesa mengakui kesilapan dalam tindakannya sebelum ini kerana menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kementerian berkenaan.
Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mengakui tindakan Guan Eng sebelum ini sebagai satu kesilapan.
“Bahasa Kebangsaan adalah bahasa yang dikhaskan untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum, tanpa bahasa kita jadi cacamarba, tiada kesatuan lagi. Jadi, ini sangat penting. Bahasa jiwa bangsa, jadi kalau kita nasionalis, kita pegang itu.
“Jika kalau menteri langgar, jadi ia satu perkara yang harus ditentang kerana dia sepatutnya mengagungkan Perlembagaan (Persekutuan) dan dia telah mengambil sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan kita, undang-undang kita dan Akta Bahasa.
“Itu satu kesilapan kata Tun Dr. Mahathir tetapi nampaknya dia berdegil, jadi kita mesti membantah supaya dia sedar, jika tidak bantah, dia tidak sedar dan balik ke pangkal jalan,” katanya kepada pemberita ketika mengetuai himpunan aman bagi Mendaulatkan Bahasa Melayu dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia di hadapan perkarangan Masjid Putra, di sini hari ini.
Hadir sama, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad; Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Amiruddin Md. Ali Hanafiah; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan; Pengerusi Biro Perlembagaan MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengerusi Biro Integriti MPM, Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan.
Himpunan aman yang disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kemudiannya bergerak ke Kementerian Kewangan dengan menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kepada wakil Menteri Kewangan, Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad.
Baru-baru ini, Guan Eng menghadapi kritikan pelbagai pihak berikutan tindakannya yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementeriannya di dalam bahasa Mandarin selain bahasa Melayu dan Inggeris.
Dalam pada itu, menurut Amiruddin, kandungan memorandum yang diserahkan itu antaranya turut meminta Guan Eng serta Kementerian Kewangan untuk tidak menggunakan bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi pentadbiran kerajaan.
“Seterusnya, kita hendak Yang Berhormat menjadi pemimpin teladan kepada masyarakat Cina untuk menggunakan bahasa Melayu,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujar Hasan, pihaknya tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang menidakkan kedudukan Bahasa Kebangsaan.











