Gol 'nasib' Diego Costa hadiahkan kemenangan pertama Sepanyol - Utusan Malaysia

Gol ‘nasib’ Diego Costa hadiahkan kemenangan pertama Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Juara 2010, Sepanyol kembali mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA apabila menewaskan Iran 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan B di Kazan Arena, Kazan, Rusia awal pagi ini.

Gol ‘nasib’ yang tertampan daripada Diego Costa pada minit ke-54 sudah cukup menghadiahkan kemenangan pertama buat Sepanyol dalam kempen di Rusia ini, sekali gus menyaksikan mereka mengumpul empat mata bersama dengan Portugal yang menang 1-0 ke atas Maghribi pada aksi terdahulu.

Setelah mengumpul satu mata hasil keputusan seri 3-3 dengan Portugal Sabtu lalu, Sepanyol turun dalam pertemuan ini dengan misi memburu kemenangan ke atas pendahulu kumpulan, Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah buat skuad ‘La Roja’ itu apabila Iran yang sekurang-kurangnya mahu keputusan seri dalam pertemuan ini, beraksi secara bertahan dengan kesemua sebelas pemainnya berkampung di kawasan gol sendiri.

Meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan, aksi ‘Tiki-Taka’ Sepanyol masih tetap gagal menembusi gawang Iran yang kebal sepanjang babak pertama.

Sebaliknya, Iran yang membuat kejutan dengan menang tipis 1-0 ke atas Maghribi, Sabtu lalu, sekali-sekala mencemaskan pertahanan Sepanyol dengan serangan balas pantas mereka, namun penyudah tumpul menjadi penghalang bagi mereka melakar satu lagi kejutan.

Bagaimanapun, kekentalan benteng  pertahanan Iran akhirnya roboh jua pada babak kedua apabila Costa bernasib baik selepas bola yang cuba dikeluarkan pertahanan lawan tertampan pada kakinya sebelum melantun menuju ke gawang gol Iran.

Tersentak dengan gol itu, Iran mula melancarkan serangan memburu gol penyamaan dan usaha mereka hampir berhasil pada minit ke-62, namun gol percubaan Masoud Shojaei itu dibatalkan selepas teknologi sistem Bantuan Video Pengadil (VAR) mengesahkan bahawa dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedua-dua pasukan kemudian mula saling menyerang dengan beberapa percubaan tepat dilakukan terhadap pintu gol lawan masing-masing, namun ketangkasan penjaga gol David de Gea dan Alireza Beiranvand memastikan kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan.

Keputusan ini pastinya cukup melegakan para penyokong Sepanyol selepas skuad kendalian Fernando Hierro itu dipalit krisis dalaman berikutan pemecatan kontroversi jurulatih sebelum ini, Julen Lopetegui.

Bagi Iran pula, kekalahan ini sesuatu yang perit untuk ditelan kerana ia menjejaskan peluang mereka untuk melakar sejarah layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak enam penyertaan Piala Dunia.

Pasukan No. 37 dunia itu sebelum ini beraksi cemerlang dengan mengutip tiga mata ke atas Maghribi hasil kemenangan 1-0 pada minit kecederaan Sabtu lepas.

Kini mereka perlu mengalahkan Portugal atau sekurang-kurangnya seri pada aksi terakhir perlawanan Rabu depan jika mahu layak ke pusingan kedua, sambil berharap pasukan tangga kedua, Sepanyol tewas mengejut kepada Maghribi pada hari yang sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini