Godin akan jadi pengawal Ronaldo - Utusan Malaysia

Godin akan jadi pengawal Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN – Pemain berpengalaman Uruguay, Diego Godin bakal diberi peranan besar untuk merantai pergerakan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada peringkat kalah mati di Stadium Luzhniki awal pagi Ahad ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanggungjawab tersebut dijangka mampu direalisasikan dengan baik memandangkan nadi jentera pertahanan Atletico Madrid itu begitu arif dengan kemampuan Ronaldo dalam kancah La Liga.

Menurut Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez, dia sering menjadikan sifat Godin yang tidak pernah berputus asa sebagai sumber inspirasi kepada skuad Los Charruas pada kempen Piala Dunia kali ini.

“Sekiranya Godin ada, saya tidak bimbang dengan prestasi jentera pertahanan kami kerana tahu bagaimana dia beraksi. Ia dapat dibuktikan pada aksi peringkat kumpulan apabila Uruguay langsung tidak dibolosi sebarang gol.

“Pada aksi peringkat kalah mati nanti, saya fikir Godin sekali lagi akan menjalankan tugasnya dengan penuh komitmen. Pengalamannya beraksi bersama Atletico pasti berguna apabila dia bertembung dengan Ronaldo.

“Jika Ronaldo diikat, maka jentera serangan Portugal juga akan hilang fungsinya sekali gus mencerahkan peluang kami ke pusingan suku akhir,” katanya.

Sementara itu, Godin memberitahu, asas kepada kekuatan mereka di semua posisi adalah kerjasama dalam satu pasukan yang sudah menjadi nadi utama skuad Uruguay sejak berada di bawah kendalian Tabarez pada 2006.

“Saya melihat pasukan Uruguay sudah menunjukkan peningkatan dari segi penguasaan bola pada aksi peringkat kumpulan. Ianya boleh diperbaiki lagi pada aksi kalah mati selepas ini,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN