SUBANG JAYA – Bahang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 terus ‘dihangatkan’ dengan layanan menggoda daripada gadis pelayan pelanggan (GRO) yang seksi di sebuah pusat hiburan di Jalan USJ 25/1 di sini awal pagi tadi.
Taktik menggunakan GRO yang bertemakan ‘World Cup’ itu terbongkar apabila Bahagian Pencegahan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Selangor menyerbu kelab malam tersebut dalam Ops Noda pada pukul 1.30 pagi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan itu turut membabitkan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Subang Jaya apabila mendapati ia beroperasi lebih masa.
“Seramai 33 GRO warga asing yang berusia lingkungan 20-an ditahan dalam Ops itu.
“Semakan lanjut mendapati 25 daripadanya adalah warga Thailand, Ukraine (2 orang), Korea (4 orang), Laos dan Cambodia masing-masing seorang,” katanya hari ini.
Mohd. Khaizam menambah, modus operandi pusat tersebut adalah memastikan sebilangan GRO berkenaan memakai pakaian bertemakan pasukan bola sepak sepanjang perlawanan Piala Dunia berlangsung.
“Mereka akan melayani pelanggan dengan duduk bersama dan menyediakan minuman sebelum diberikan tip berdasarkan layanan yang diberikan.
“Kelab ini juga turut menyediakan pentas bagi GRO tersebut menarik perhatian pelanggan mereka dengan mengenakan kalungan bunga dan mahkota serta diberikan tip bernilai RM50 hingga RM1,000,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya telah merampas dua keping resit minuman dan sembilan mahkota selain turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga kelab itu.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke balai polis Subang Jaya untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B, 39B dan 6(3) Akta Imigresen serta Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998,” katanya. – K! ONLINE











