NEW YORK 31 Mei – Pertempuran terbaharu antara Israel dan pergerakan Hamas bakal membawa mereka ke kancah peperangan walaupun keadaan di Genting Gaza dan komuniti Israel berhampiran sempadan kembali tenang selepas insiden berbalas serangan, kelmarin.
Amaran itu dibuat Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat, Nickolay Mladenov ketika Majlis Keselamatan PBB (UNSC) masih menemui jalan buntu tentang tindakan yang perlu diambil bagi menangani peningkatan serangan oleh pejuang Palestin di Semenanjung Gaza dan Israel.
“Serangan terbaharu itu memberi amaran kepada semua pihak bahawa peperangan begitu hampir setiap hari.
“Tiada sesiapa di Semenanjung Gaza mampu untuk berdepan dengan satu lagi peperangan,” kata Mladenov menerusi sidang video dari Baitulmuqaddis.
UNSC mengadakan mesyuarat tergempar semalam atas permintaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak badan dunia itu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Hamas melancarkan serangan roket terhadap Israel.
Bagaimanapun, Kuwait sebagai anggota tidak tetap UNSC dan mewakili negara Arab menyekat draf kenyataan AS dengan berhujah pihaknya telah mengemukakan resolusi draf mereka sendiri untuk menangani krisis berkenaan.
Insiden berbalas serangan kelmarin berlanjutan sehingga awal pagi semalam bermula dengan tembakan roket dan mortar ke Israel dari Gaza mendorong Israel bertindak balas dengan menyerang 65 lokasi pejuang Palestin di Genting Gaza.
Keganasan itu merupakan yang terburuk sejak perang 2014 antara Israel dan Hamas disusuli dengan tunjuk perasaan penduduk Palestin selama beberapa minggu hingga mengakibatkan lebih 100 orang penduduk Palestin sama ada ditembak atau dibunuh tentera Israel.
Kuwait dijangka mendesak UNSC supaya meluluskan draf resolusi yang dibentangkan supaya langkah sewajarnya diambil bagi melindungi penduduk awam Palestin.
“AS yang memiliki kuasa veto dijangka membantah keputusan berkenaan,” kata Duta Israel ke PBB, Danny Danon.
Dengan kebuntuan di UNSC, Perancis memberi amaran kegagalan untuk bersetuju akan tindak balas terhadap krisis Gaza merosakkan PBB.
“Sikap berdiam diri yang mendorong kepada tindakan tidak peduli sama sekali tidak boleh diterima. Ini tidak dapat diterima bagi penduduk Palestin dan Israel yang terjejas akibat konflik tersebut. Tidak dapat diterima bagi dunia yang memerhatikan kita,” katanya.
Sementara itu, penduduk Palestin berdepan krisis besar apabila pertempuran yang berlaku sejak berminggu-minggu lalu menyebabkan 13,000 cedera dan sistem perubatannya berdepan dengan pelbagai masalah. – AFP










