MELAKA 20 Jun – Malang bagi seorang gadis yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dia maut dihempap sebatang pokok tumbang dalam satu kejadian di Jalan Ayer Keroh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, yang menunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa yang juga anak kedua daripada empat adik-beradik itu dipercayai dalam perjalanan dari rumah sewanya ke tempat kerja di sebuah kilang di Ayer Keroh di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Mohd. Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut. – UTUSAN ONLINE











