Gadis maut dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

Gadis maut dihempap pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang gadis maut selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Ayer Keroh lama di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, yang menunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, anak kedua daripada empat adik-beradik itu dalam perjalanan dari rumah sewa ke tempat kerja di sebuah kilang di Ayer Keroh. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu mangsa, Suhaila Maa Hasan, 50, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya pada Sabtu lalu ketika Intan Syahira pulang berhari raya di kampung di Gemas, Negeri Sembilan. 

“Pada hari tersebut, Intan Syahira merajuk kerana saya tidak memujinya membantu mengemas rumah lalu dia terus mengemas pakaian pulang ke Melaka. 

“Itu kali pertama dia merajuk dan saya tidak sangka dia akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini. 

Mengulas lanjut, Suhaila memberitahu, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anak sulungnya yang melihat gambar kad pengenalan mangsa dan gambar kemalangan tular di Facebook. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd. Kamal Zainal mengesahkan kejadian dan memberitahu kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini