KUALA LUMPUR 1 Jun – Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji beberapa opsyen berkenaan peranan yang boleh dimainkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di dalam kementerian tersebut selepas kerajaan membuat keputusan membubarkan agensi terbabit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun SPAD telah diletakkan dibawah seliaan Kementerian Pengangkutan tetapi beberapa fungsinya masih berjalan seperti biasa seperti kajian-kajian polisi dan dasar perlesenan.
“Walaupun SPAD diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan namun apa yang telah dilaksanakan dan dijalankan oleh agensi itu masih berjalan seperti biasa termasuk daripada segi kajian-kajian polisi, dasar perlesenan dan juga penguatkuasaan.
“Cuma kami kini sedang dalam peringkat perbincangan bagaimana fungsi SPAD ini akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan beberapa opsyen sidang dikaji untuk tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat SPAD, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran SPAD dan tugas-tugas yang dijalankan suruhanjaya itu sebelum ini di kembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.
Sementara itu, tambah Siew Fook, daripada keseluruhan 997 kakitangan SPAD, 372 orang daripadanya adalah merupakan penguatkuasa.
“Jadi hala tuju SPAD dalam Kementerian Pengangkutan adalah penguatkuasaan SPAD akan diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Tetapi ada bahagian-bahagian lain seperti bahagian perancangan dan dasar yang kami masih mengkaji dan belum mempertimbangkan apa opsyen yang terbaik supaya mereka terus dapat memainkan peranan dalam Kementerian Pengangkutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










