KUALA LUMPUR – Ahli parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun menggesa polis melakukan siasatan terhadap pihak yang mendakwanya dirinya menyalahgunakan pengaruh politik untuk mengutip wang bagi pemberian tapak bazar ramadan kepada penjaja di Jalan Masjid India di sini baru-baru ini.
Kui Lun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi semalam.
“Saya tidak terlibat dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang tindakan Mohd. Noorhisyam untuk mengutip sebarang duit daripada mana-mana pihak berkenaan tapak bazar Ramadan tersebut.
“Saya juga tidak pernah memberi persetujuan terhadap tindakan sebegitu (mengutip wang untuk tapak bazar),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi selepas membuat laporan awal pagi ini.
Beliau memberitahu, dua kaedah penawaran tapak diberikan iaitu melalui proses pengundian di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di sini sekiranya ada tapak kosong kerana pembatalan lesen atau kekosongan dalam kalangan peniaga.
“Kaedah kedua adalah menganjurkan bazar bermula dari Wakaf Buta sehingga Masjid India atau Bazar Melayu dengan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
“Pada 5 Jun lalu, DBKL memberitahu bahawa pihaknya memerlukan pengesahan bertulis oleh saya untuk lokasi dan nama tersenarai dan surat itu telah dikeluarkan oleh pihak saya pada hari yang sama untuk menyokong bazar yang akan diadakan di kedua-dua lokasi pada pilihan pertama,” katanya.
Pihaknya juga sudah berhubung dengan Noorhisyam dan dia turut menafikan aktiviti pengutipan duit daripada peniaga-peniaga tersebut.
Media sebelum ini melaporkan pihaknya dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Bintang, Mohd. Noorhisyam Abd. Karim dituduh menggunakan pengaruh politik untuk mengutip wang daripada peniaga di tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India sebanyak RM4,000 hingga RM5,000.- K! ONLINE











