BUTTERWORTH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan bahan keperluan terutama daging lembu, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri nanti.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi sejak tiga bulan lepas bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
“Banyak bekalan bahan berkenaan diperoleh daripada sumber tempatan dan pihak FAMA telah bersedia sejak tiga bulan lepas dengan memastikan penternak, pengusaha ladang kontrak dan pembekal memastikan bekalan mereka ditambah bulan ini.
“Ada beberapa barangan yang kita terpaksa import seperti bawang merah dan bawang putih namun, meskipun diimport, harganya dikawal supaya tidak membebankan pengguna.
“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan bahan keperluan mencukupi dan harga berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Aidilfitri Agro Kraf di Sunway Carnival Mall di sini hari ini.
Katanya, selain itu, FAMA turut mengimport sebanyak dua juta biji kelapa bagi menampung permintaan yang tinggi pada musim perayaan nanti malah harga ketika ini lebih murah berbanding sebelum ini. – Bernama










