FAMA jamin barangan keperluan Aidilfitri mencukupi - Utusan Malaysia

FAMA jamin barangan keperluan Aidilfitri mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelang musim perayaan, pasti akan timbul isu tentang keperluan barangan asas yang dikhuatiri masyarakat tidak mencukupi selain didorong faktor kenaikan harga sesuka hati oleh penjual.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan akhbar Kosmo! pada 30 Mei lalu, tinjauan yang dilakukan oleh wartawan mendapati, rata-rata harga barang keperluan di seluruh negara didapati masih stabil meskipun ketika umat Islam bakal menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.

Malah, harga barang harian seperti bawang, cili kering dan sayur-sayuran masih berada pada tahap yang berpatutan.

Adakah ketetapan harga barang-barang asas tersebut akan terus kekal dan mencukupi untuk kegunaan menjelang lebaran nanti?

Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, ikuti temu bual yang dilakukan oleh wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI bersama Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak yang ditemui sewaktu majlis Pelancaran Promosi Mangga Harumanis ke Pasaran Hotel di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Bercakap tentang topik utama yang ingin dibincangkan mengenai barangan keperluan pada musim perayaan. Bagaimana Datuk ingin memastikan bahawa bekalan itu benar-benar mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti?

Ahmad Ishak: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub telah memaklumkan bahawa bekalan beberapa barang keperluan untuk hari raya dijamin mencukupi. Menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti, kita telah mengenal pasti antara barangan yang sentiasa dicari dan mendapat permintaan tinggi semasa hari raya nanti ialah ayam, daging dan sayur-sayuran. Pengguna tidak perlu risau kerana pihak kementerian akan memastikan keperluan asas yang diperlukan mencukupi. Justeru pengguna tidak perlu risau tentang perkara tersebut. Kami di FAMA telah menyediakan kira-kira 724 lokasi pasar tani untuk rakyat berbelanja semasa hari raya nanti. Kita juga akan menganjurkan program yang dinamakan sebagai Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani di semua pasar-pasar tani FAMA di seluruh Malaysia. Program ini akan bermula pada 8 Jun 2018 sehingga sehari sebelum Aidilfitri. Kita sedia maklum dan peka tentang keperluan yang diinginkan oleh masyarakat semasa musim perayaan.

Adakah terdapat barang keperluan asas yang telah pun diletakkan di bawah harga kawalan menjelang hari raya yang bakal tiba?

Tidak lama lagi, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengeluarkan senarai harga kira-kira 22 jenis barang yang diisytiharkan sebagai barang kawalan. Biasanya ia akan dilaksanakan seminggu sebelum dan selepas hari raya. Pihak berkuasa akan meletakkan harga siling di mana, penjual tidak boleh meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding harga yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak FAMA juga akan sentiasa turun padang dan membuat pemantauan bersama urusetia di setiap pasar tani untuk memastikan tiada peniaga yang menjual barang keperluan lebih daripada harga yang ditetapkan.

Bagaimana FAMA hendak memastikan setiap bekalan barang keperluan asas untuk kegunaan semasa Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba dijual mengikut harga yang telah ditetapkan?

Seperti yang dinyatakan, pihak kerajaan akan meletakkan harga siling pada kira-kira 22 jenis barang keperluan asas bagi mengelak para pengusaha menaikkan harga melepasi harga yang telah ditetapkan. Harga barangan tersebut bagaimanapun tidak dapat diseragamkan di seluruh negara kerana ia bergantung pada faktor sesebuah negeri tersebut. Seperti harga ayam misalnya, terdapat negeri yang menjadi pengeluar ayam dan boleh menyebabkan harga ayam yang dijual di negeri tersebut jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Apa yang pasti, ia tidak boleh dijual melebihi harga siling yang telah ditetapkan.

Apakah antara program lain yang dilaksanakan oleh FAMA untuk menjamin pengguna mendapat bekalan yang mereka perlukan?

FAMA turut menjalankan program yang dikenali Jualan Terus Dari Ladang iaitu FAMA akan membawa pengusaha-pengusaha membuat jualan terus dari ladang ke pasar-pasar tani. Setakat ini, program Jualan Terus Dari Ladang telah dilaksanakan di lebih 616 buah pasar tani seluruh Malaysia dengan membantu usahawan tani memasarkan produk mereka tanpa melalui banyak peringkat sehingga menyebabkan keuntungan berkurangan. Begitu juga dengan program Jimat Belanja Dapur yang melibatkan 27 jenis barangan yang dikenal pasti seperti bawang besar, bawang kecil, kubis, halia, cengkih, lobak dan kelapa dijual pada harga lebih murah antara lima peratus sehingga 20 peratus. Jimat Belanja Dapur adalah program yang dijalankan di pasar-pasar tani atau di tempat-tempat lain.

Apakah nasihat Datuk kepada para pengguna supaya tidak terlalu bimbang mengenai keperluan barangan asas ketika hari raya nanti?

Bila tibanya hari lebaran, mahu tidak mahu, kita akan menyediakan juadah-juadah tradisi seperti rendang, lemang dan ketupat sebagai sajian wajib di hari raya. Bila nak menyediakan juadah tersebut, ia memerlukan bekalan bahan mentah dan setiap tahun, pasti akan timbulnya isu kebimbangan tentang kemungkinan barang asas tidak mencukupi. Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang kerana bekalan dijamin ada dan mencukupi. Tempat-tempat yang menyediakan barang-barang asas ini banyak seperti di pasar harian, pasar raya, pasar malam, pasar awam dan pasar tani. Sebelum ini kita pernah berdepan dengan bekalan kelapa yang terputus di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ketika menjelang hari raya, namun perkara tersebut dapat ditangani segera oleh FAMA dengan membawa kelapa-kelapa yang diimport ke tempat-tempat berkenaan menggunakan lori kontena sekali gus berjaya menangani masalah tersebut dalam masa singkat.

Boleh Datuk beritahu apakah program terbaharu yang kini sedang dilaksanakan oleh FAMA?

FAMA kini sedang melaksanakan Promosi Mangga Harumanis Bersama Hotel iaitu merupakan salah satu program kerjasama antara FAMA dengan hotel-hotel di Malaysia untuk mempromosikan mangga harumanis. Mangga harumanis merupakan variati mangga yang paling popular di Malaysia kerana memiliki kualiti premium dengan isinya yang manis dan bersari. Pemilihan hotel sebagai rakan kerjasama FAMA adalah kerana segmen pasaran mangga harumanis yang menumpukan kepada pasaran premium dan hotel-hotel di Malaysia dilihat bersesuaian dengan segmen ini. Selain itu, hotel juga dapat memperkenalkan menu-menu menarik berasaskan mangga harumanis seperti pulut mangga harumanis, jus dan aiskrim. Program kerjasama FAMA dengan pihak hotel merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan buah-buahan tempatan khususnya harumanis di hotel-hotel terkemuka sekitar Lembah Klang. Antara hotel yang terlibat adalah Hotel Istana, Hotel Sama-Sama, Hotel Dorsett Putrajaya, Hotel Royal Chulan dan Hotel Ancasa.

Bagaimana Datuk melihat dengan promosi mangga harumanis ke pasaran hotel ini mampu memberi pulangan memberangsangkan terhadap pengusaha mangga berkenaan?

Bermula pada bulan Mei hingga Jun 2018, dianggarkan sebanyak 2,277 metrik tan mangga harumanis akan dituai dari ladang-ladangnya khususnya di Perlis. Nilai eksport buah-buahan Malaysia bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM494.08 juta, manakala bagi mangga adalah sebanyak RM8.55 juta. Memandangkan musim pengeluaran mangga harumanis kali ini adalah pada bulan Ramadan, FAMA telah mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu petani memasarkan hasil buah-buahan tersebut ke pelbagai peringkat dan mengelakkan berlakunya lambakan buah tersebut di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN