Fail merah Kementerian Kewangan bongkar skandal RM9.4 bilion - Utusan Malaysia

Fail merah Kementerian Kewangan bongkar skandal RM9.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan melalui penelitiannya terhadap ‘fail merah’ membongkar satu lagi skandal bernilai RM9.4 bilion yang dipercayai berlaku semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Menteri Kewangan Lim Guan Eng.–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menterinya, Lim Guan Eng (gambar) berkata, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MoF), terlibat dalam skandal dikaitkan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Skandal RM9.4 bilion di mana bayaran dibuat berdasarkan tempoh dan bukan berdasarkan kerja progresif yang dilaksanakan telah menyebabkan RM8.3 bilion dibayar atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek walaupun hanya 13 peratus siap dilaksana,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Perkara itu ditemui dalam ‘fail merah’ di kementerian berkenaan dan ia disyaki ada kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Fail tersebut sebelum ini dikatakan hanya boleh diakses oleh pihak tertentu dan tidak didedahkan kepada pegawai dan juruaudit kementerian berkenaan.

MPP melibatkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula akan membina saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu telah diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016. Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Se­rigar Abdullah yang juga Pengerusi SSER. Irwan Serigar meletak jawatan pada 23 Mei lalu.

SSER berjaya memperoleh pembiayaan daripada China Exim Bank berjumlah 85 pe­ratus daripada nilai projek pada 22 Mac 2017. Baki 15 peratus daripada dana yang diperlukan akan dikumpul melalui terbitan sukuk.

Kedua-dua pinjaman China Exim Bank dan sukuk itu diperoleh dengan jaminan kerajaan Persekutuan.

Semasa taklimat yang diberikan kepada pegawai Perbendaharaan pada 28 Mei lalu, SSER melaporkan bahawa projek tiga tahun itu telah dimulakan pada April 2017. 
– Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini