EU tarik balik sekatan minyak sawit mulai 2021 - Utusan Malaysia

EU tarik balik sekatan minyak sawit mulai 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Jun – Ke­satuan Eropah (EU) mencapai persetujuan pada Khamis lalu untuk menarik balik sepenuh­nya sekatan penggunaan biobahan api berasaskan sawit mulai 2021.

S. KALYANA

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr. S. Kalyana berkata, kejayaan itu antaranya adalah hasil desakan Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain setelah sekatan tersebut diputuskan pada April 2017 melalui satu resolusi EU, yang kononnya untuk menjaga keles­tarian alam sekitar global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak itu, EU menerima pelbagai desakan dan kecaman daripada negara-negara pengeluar minyak sawit terutamanya Malaysia dan Indonesia menyebabkan mereka meneliti serta mengambil kira semua desakan-desakan tersebut yang berlangsung selama 18 bulan tanpa henti.

“Akhirnya, mereka menarik balik sekatan tersebut dan MPOC serta seluruh rakyat negara ini sangat mengalu-alukan penarikan ba­lik sekatan ini. Ke­putusan yang dibuat sememangnya tepat pada masanya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sawit, MPOC, Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Malaysia sebelum ini men­desak EU agar tidak mengenakan sekatan itu selepas undian di Parlimen EU memihak kepada draf undang-undang mengenai tenaga boleh diperbaharui yang mencadangkan larangan penggunaan minyak sawit dalam biobahan api mulai 2021.

EU memberikan alasan komoditi yang digunakan secara meluas itu akan menjejaskan hasrat benua tersebut untuk melestarikan sektor pengangkutannya jika digunakan sebagai biodiesel.

Sebagai pengeksport mi­nyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia akan terjejas dengan langkah tersebut.

Kalyana menambah, Malaysia berjaya me­yakinkan EU bahawa negara ini masih mengekalkan sebanyak 50 peratus hutan simpan dan tidak timbul isu berlaku pembersihan hutan secara besar-besaran bagi pembukaan ta­nah untuk penanaman sawit.

“Di samping itu, proses penghasilan minyak sawit kita begitu mematuhi segala peraturan dan mempunyai pengiktirafan sijil antarabangsa,” katanya.

Namun, beliau mem­­beritahu, tidak dinafikan sentimen antiminyak sawit masih lagi kuat terutamanya dalam kalangan penduduk Eropah yang mengaitkannya dengan isu-isu pemusnahan hutan, kesan kepada cuaca serta ancaman terhadap hidupan liar dan biodiversiti.

“Ini menyebabkan MPOC akan terus berusaha bagi me­ngatasi dakwaan mereka terhadap minyak sawit dengan mewujudkan sesi-sesi rundi­ngan bersama pakar-pakar dan turun ke lapangan dengan semua rakan kongsi dalam industri ini,” katanya.

Jelas Kalyana, MPOC akan mengambil kesempatan dengan penarikan sekatan itu dengan lebih gigih lagi untuk mempromosi dan memasarkan minyak sawit ke seluruh dunia.

“Sehingga kini, kebanyakan negara-negara Afrika, Asia Barat, India dan China semakin memberikan kerjasama untuk menerima minyak sawit kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini