BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan tarif ‘balas dendam’ ke atas produk ikonik Amerika Syarikat (AS) termasuk minuman keras, jean dan motosikal dalam perang perdagangan dengan Presiden Donald Trump.
Tarif tersebut berkuat kuasa tengah malam waktu tempatan semalam menurut jurnal rasmi EU, di tengah-tengah kegelisahan pasaran saham dunia yang sudah cemas dengan ketegangan perdagangan antara AS dan China.
Tindakan itu menyaksikan ejen-ejen kastam di seluruh pasaran Eropah yang merangkumi hampir 500 juta orang akan mengenakan duti, sekali gus meningkatkan harga produk buatan AS.
Brussel mengenakan duti pengangkutan terhadap produk AS bernilai 2.8 bilion euro (RM13 bilion) dalam tindak balas terhadap keputusan Trump mengenakan tarif ketat ke atas eksport besi dan aluminium Eropah.
Pesuruhjaya Perdagangan EU, Cecilia Malmstrom minggu ini berkata, blok 28 negara itu ‘ditinggalkan tanpa pilihan’ untuk mengenakan tarif sendiri selepas keputusan unilateral dan tidak adil AS.
“Kita kini dalam perang perdagangan dan semakin meningkat,” kata Ketua Ekonomi SEB, Robert Bergqvist.
Brussels pertama kali disenaraikan pada Mac lalu ketika Trump pada mulanya mengapungkan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan 10 peratus produk aluminium selain menyasarkan Kanada, Mexico dan sekutu rapat lain.
Senarai itu tidak menyebut nama jenama spesifik tetapi Ketua Suruhanjaya EU, Jean-Claude Juncker mengatakan pada Mac lalu bahawa blok itu akan menyasarkan produk terkenal seperti Harley-Davidson, Levi’s dan minuman keras AS.
Kranberi, jus kranberi, jus oren, jagung manis dan mentega kacang juga merupakan antara produk makanan yang menjadi sasaran. – AFP










