Era kendong MCA berakhir - Utusan Malaysia

Era kendong MCA berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Jun – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong seolah-olah bersifat ‘memijak kawan yang terjatuh’ selepas dilaporkan membuat kenyataan era parti itu menanggung kesalahan UMNO sudah tamat selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi mentadbir negara.

ANNUAR MUSA

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO tidak pernah mengeluarkan kenya­taan tentang kegagalan rakan parti komponen dan hakikatnya era UMNO ‘menanggung dan mengendong’ MCA yang sudah lama lumpuh juga sudah tamat.

Hal ini kerana jelas beliau, se­jak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), MCA seolah-olah telah diserang angin ahmar dan hilang upaya sehingga perlu dipa­pah UMNO dan diberi tempat em­puk dalam kerajaan dengan ha­rapan parti itu akan pulih semula.

“Apa yang terjadi? Bukan sahaja mereka tidak pulih, malah mereka hilang upaya sama sekali. Mereka bukan sahaja gagal dengan rakyat, malah gagal menawan hati ahli sendiri.

“Hingga ke saat akhir ketika mana jentera parti (BN) disusun rapi, MCA masih gagal mengenal pasti penyokong dan jentera. Mereka hanya minta dipapah dan dikendong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Cina semalam, Ka Siong berkata, era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah tamat selain membayangkan BN tidak lagi seperti dulu dan MCA kini sudah boleh membuat keputusan sendiri.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beberapa hari sebelum PRU-14, MCA memberi laporan kononnya pengundi Cina menunjukkan pe­ningkatan sokongan kepada BN namun realitinya hanya dua peratus daripada kelompok itu memi­lih BN.

“Ini menjadi faktor terbesar tewasnya berpuluh-puluh kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina, termasuk kerusi Presiden MCA sendiri.

“Ternyata MCA telah gagal sama sekali mengekang trend mengundi secara polarisasi kaum yang dipelopori DAP. Akuilah hakikat itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN