RUSIA 17 Jun – England bakal beraksi tanpa rasa takut terutama untuk perlawanan pertama Kumpulan G Piala Dunia 2018 menentang Tunisia esok (awal pagi Selasa waktu Malaysia) di Volgograd.
Pemain tengah England, Jesse Lingard berkata, semua pemain berterima kasih kepada pengurus Gareth Southgate kerana telah menyediakan mereka dengan mental yang kuat.
Katanya, Southgate telah memberikan lampu hijau kepada semua pemain England untuk menyerlahkan keupayaan masing-masing sepanjang kempen Piala Dunia 2018 di Rusia.
“Southgate telah menguatkan mental semua pemain apabila memberikan kebebasan sekali gus membuatkan kami dapat bermain tanpa rasa takut serta tertekan.
“Sebagai pemain dalam pasukan ini anda akan bermain dengan lebih selesa dan menikmati setiap perlawanan dengan sebaiknya.
“Ya, sudah tentu kami mahu mendapatkan kemenangan dan mara ke perlawanan akhir namun untuk mencapai tujuan itu kami harus bersedia dalam semua perlawanan,” kata Lingard.
Dalam pada itu, Lingard turut memberitahu bahawa dia sedia menjadi badut dalam skuad England bagi memastikan semua rakan sepasukannya terhibur selain mengelak daripada terlalu memikirkan tentang lawan mereka.
“Ini adalah karakter saya yang suka membuatkan rakan-rakan tertawa.
“Karakter saya turut membantu pasukan sepanjang kempen Piala Dunia ini kerana semua akan menjadi lebih ceria,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan kelebihan memihak England yang menumpaskan Tunisia 2-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G Piala Dunia 1998 di Perancis. – AGENSI










