England berpesta gol - Utusan Malaysia

England berpesta gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIZHNY NOVGOROD – England mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 dengan penuh bergaya selepas membelasah Panama 6-1 dalam aksi kedua Kumpulan G malam ini.

Penyerang berbisa The Three ­Lions, Harry Kane mencuri tumpuan apabila menjadi pemain kedua mencipta hatrik di pentas Piala Dunia 2018 selepas kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.

Sebagai rekod, Ronaldo mencipta hatrik buat Portugal ketika bintang Real Madrid itu mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan G 16 Jun lalu.

Dalam aksi di Stadium Nizhny Novgorod itu, pemain pertahanan England, John Stones membuka tirai jaringan seawal minit kelapan selepas memanfaatkan hantaran ­Kieran Tripper.

Kane kemudiannya menggandakan kedudukan buat skuad Gareth Southgate pada minit ke-22 selepas pengadil dari Mesir, Ghead Grisha memberikan sepakan penalti gara-gara tonggak pertahanan Panama, Fidel Escobar mengasari Jesse Lingard.

England terus ghairah menghukum kerapuhan benteng pertahanan Panama bermula gol keempat dari Lingard dan Stones masing-masing dijaringkan pada minit ke-36 dan 40.

Berselang lima minit kemudian, Kane sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti sekali gus keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan di separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua permainan, Kane yang juga merupakan kapten England mencipta hatrik dan melengkapkan pesta gol dengan menjaringkan gol keenam selepas memanfaatkan hantaran Ruben Loftus-Cheek pada minit ke-62.

Panama akhirnya berjaya meraih satu gol saguhati menerusi Felipe Baloy tetapi kebangkitan lewat itu gagal mengatasi cabaran England yang menguasai sebahagian besar perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan England unggul sebagai pendahulu Kumpulan G dan bakal membuat perhitungan dengan Belgium Jumaat ini yang mana kedua-dua pasukan pilihan ini telah berjaya layak ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, Panama dan Tunisia masing-masing telah tersingkir di peringkat kumpulan, akan bermain untuk perlawanan terakhir serentak bersama England dan Belgium. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN