KEMAMAN – Empat buah pasar raya di daerah ini dikenakan tindakan kompaun keseluruhan RM9,625 oleh Pejabat Kesihatan Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) atas pelbagai kesalahan berkaitan penjualan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu dijalankan Pejabat Kesihatan Kemaman, MPK dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daerah pada hari ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman, pihaknya mengeluarkan dua notis kesalahan berjumlah RM7,000 kepada pasar raya terbabit atas kesalahan menjual makanan telah rosak.
“Dua notis yang dikeluarkan pada operasi hari ini merupakan julung kali dikeluarkan di Terengganu sejak arahan pengguatkuasaan kesalahan boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkuatkuasa mulai awal tahun ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati ia melibatkan 531 item produk makanan merangkumi 350 telah tamat tarikh luput, kemek (28), rosak (23) dan satu salah perlabelan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Anuar berkata, kesemua produk makanan berkenaan yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai keseluruhan RM2,132.21. – K! ONLINE











